Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

43 kes tingkap jatuh dilapor dari Jan hingga Nov: BCA, HDB

Dec 12, 2021 | 5:30 AM
PERBAIKI TINGKAP: Antara punca tingkap terjatuh ialah pasak aluminium yang terhakis dan tidak dapat menahan panel tingkap berbingkai di tempatnya. - Foto fail
PERBAIKI TINGKAP: Antara punca tingkap terjatuh ialah pasak aluminium yang terhakis dan tidak dapat menahan panel tingkap berbingkai di tempatnya. - Foto fail -

SEBANYAK 43 kes tingkap jatuh telah dilaporkan di Singapura dari Januari hingga November tahun ini.

Sekitar setengah, atau 22 kes, melibatkan tingkap berbingkai, sementara lagi 16 kes melibatkan tingkap gelungsur.

Lima kes lain melibatkan tingkap seperti jenis louvre.

Tiada orang cedera akibat kes-kes kejatuhan tingkap tersebut, menurut Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) semalam.

BCA berkata, ia dimaklumkan tentang 12 kes melibatkan tingkap yang tidak diselenggara dengan baik dan hampir tercabut.

Ia telah bekerjasama dengan HDB untuk mendapatkan pemilik rumah memperbaiki keadaan tingkap mereka.

Siasatan terhadap kes-kes tersebut mendapati bahawa salah satu punca utama tingkap berbingkai dan tingkap gelungsur jatuh ialah pasak aluminium yang terhakis dan tidak dapat menahan panel tingkap berbingkai di tempatnya.

Punca lain ialah kekurangan penyumbat keselamatan dan jalur sudut untuk mengekalkan panel tingkap gelungsur di dalam trek.

Tanpa ciri keselamatan ini, tingkap boleh tertanggal dan jatuh apabila daya yang berlebihan digunakan untuk membuka atau menutupnya.

Sejak 2004, BCA telah mengeluarkan perintah pengubahsuaian yang memerlukan pemilik rumah menggantikan pasak aluminium pada tingkap berbingkai kepada pasak yang diperbuat daripada keluli tahan karat.

Pemilik rumah boleh didenda sehingga $5,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya jika didapati gagal menggantikan semua pasak aluminium pada tingkap mereka kepada pasak keluli tahan karat.

Jika tingkap jatuh didapati disebabkan kekurangan penyelenggaraan, pemilik rumah boleh didenda sehingga $10,000, penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sejak 2006, seramai 388 orang telah didenda dan 92 telah didakwa dek tingkap jatuh, lapor The Straits Times.

Pemilik dan penghuni rumah dinasihatkan untuk memeriksa dan menyelenggara tingkap mereka sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

Senarai kontraktor tingkap dan tips penyelenggaraan tingkap yang diluluskan oleh BCA boleh didapati di laman web BCA dan HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg