LEBIH 50 mangsa telah ditipu sekurang-kurangnya $430,000 akibat penipuan pekerjaan bulan ini, kata polis pada Rabu (11 Mei).

Mangsa menerima mesej yang dihantar platform e-dagang menawarkan peluang pekerjaan.

Mesej-mesej ini sering kali dihantar melalui SMS, WhatsApp atau platform media sosial lain dan menawarkan tugas mudah berkaitan pemasaran gabungan (affiliate marketing) yang membayar gaji tinggi.

Misalnya, mereka dijanji akan dibayar $2 bagi setiap produk yang menerima 'like'.

Namun, mangsa perlu terlebih dahulu mendaftar untuk akaun di laman web palsu yang menyerupai Lazada, laman beli-belah dalam talian yang bereputasi, sebelum mereka boleh mula memperoleh komisen.

Mangsa dibenarkan mengeluarkan komisen awal mereka, yang menjadikan penipuan itu kelihatan lebih sah.

Selepas mengambil komisen itu, mangsa akan dijanjikan komisen sehingga 30 peratus jika mereka ingin membeli barangan di laman web itu.

Bagaimanapun, untuk membuat pembelian, mereka perlu memindahkan wang ke akaun bank milik individu yang tidak dikenali.

Mangsa akhirnya akan menyedari bahawa mereka telah ditipu apabila mereka tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaun mereka, atau apabila laman web palsu Lazada itu telah dipadam.

Polis berkata Lazada tidak menjalankan pengambilan kerja melalui SMS, WhatsApp atau Telegram.

"Lazada juga tidak akan mengarahkan anda ke laman web pihak ketiga atau meminta butiran peribadi anda untuk mendaftar pekerjaan," tambah polis.

Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima tawaran kerja meragukan yang menjanjikan pulangan lumayan untuk usaha yang sedikit.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai penipuan pekerjaan boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000, atau mengemukakan laporan di laman web iWitness.