SEKITAR 45 peratus pemilik flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah kediaman privet tidak tinggal di flat mereka kerana telah menyewakan seluruh unit mereka, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee di Parlimen semalam.

"Sehingga Oktober tahun ini, sekitar 3 peratus daripada pemilik flat HDB memiliki sekurang-kurangnya satu rumah privet, kata beliau di Parlimen sebagai respons kepada Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja, Encik Gerald Giam (GRC Aljunied).

Beliau menyatakan bahawa kadar ini telah jatuh sekitar 0.3 peratusan mata dalam tempoh tiga tahun yang lalu.

Sekitar 4 peratus daripada pemilik tersebut menyewakan satu atau lebih bilik tidur flat HDB mereka, dengan kadar kekal stabil sepanjang tiga tahun lalu.

Dalam kalangan pemilik flat yang tidak memiliki hartanah kediaman privet pula, sekitar 13 peratus menyewakan seluruh flat atau bilik tidur mereka.

Encik Giam turut menanyakan jika ada sebarang rancangan untuk menyemak dasar yang membenarkan pemilik flat HDB menyimpan flat mereka selepas membeli hartanah kediaman privet.

Sebagai respons, Encik Lee berkata pihak pemerintah akan mengkaji saranan itu, bersama idea dan pandangan lain yang telah dikumpulkan daripada rakyat Singapura sebagai sebahagian daripada inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura.

Encik Lee menambah bahawa pemilik flat yang tidak menjual flat HDB mereka akan dikenakan Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD), sekurang-kurangnya 17 peratus apabila membeli hartanah kediaman kedua dan seterusnya.

Encik Giam turut menyatakan bahawa harga flat jualan semula HDB telah meningkat sebanyak kira-kira 28 peratus dalam tempoh dua tahun yang lalu.

"Lebih daripada 266 flat telah dijual pada harga sekurang-kurangnya $1 juta antara Januari dengan September tahun ini.

"Ini telah meletakkan flat jualan semula di luar kemampuan ramai rakyat Singapura, walaupun selepas mengambil kira geran pemerintah.

"Oleh kerana flat HDB bertujuan untuk didiami pemilik, bolehkah pemilik HDB yang membeli hartanah kediaman privet pada masa depan dikehendaki menjual flat mereka agar flat itu dibebaskan untuk dibeli oleh rakyat Singapura yang lain," tanya Encik Giam.

Mengulangi respons beliau bahawa pihak pemerintah akan mengkaji semua pilihan, Encik Lee berkata langkah-langkah telah diambil pada Disember tahun lalu dan September lalu untuk menyejukkan pasaran hartanah.

"Kami juga sedar tentang keadaan makroekonomi pada masa hadapan, kadar faedah yang semakin meningkat, ketidaktentuan dalam iklim ekonomi sejagat, orang ramai lebih berhati-hati dalam pembelian rumah mereka, dan ini semua akan memberikan kesan," kata beliau.

Mengenai flat yang bernilai berjuta dolar, Encik Lee berkata mereka membentuk kira-kira 1 peratus daripada semua urus niaga jualan semula flat dalam tempoh dua tahun lalu.

Beliau juga menyatakan bahawa flat-flat yang dijualkan pada harga sedemikian seringkali cenderung mempunyai ciri-ciri yang baik, seperti flat jumbo, unit loteng, apartmen eksekutif dan maisonet.