4,500 kerja baru, dipindahkan akan tersedia di Distrik Inovasi Jurong
4,500 kerja baru, dipindahkan akan tersedia di Distrik Inovasi Jurong
DISTRIK Inovasi Jurong akan mewujudkan sekitar 1,200 pekerjaan baru dalam industri seperti perkilangan lanjutan, mobiliti bandar dan huraian bandar dalam masa 18 bulan mendatang.
Dengan lagi 3,300 pekerjaan "dipindahkan" dari kilang-kilang yang memindahkan operasi mereka ke kawasan itu, distrik itu akan menyajikan sejumlah 4,500 pekerjaan pada tempoh itu.
Syarikat runding cara bandar dan prasarana Surbana Jurong dan loji perkilangan Shimano antara syarikat yang akan berpindah ke distrik tersebut.
Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, memberi butiran itu kepada media semalam, di luar acara lawatannya ke Pusat Teknologi Sodick Singapore, yang terletak di Distrik Inovasi Jurong.
Semasa lawatannya itu, Dr Tan turut melancarkan satu garis panduan industri baru bagi penubuhan, operasi dan penyenggaraan selamat kemudahan perkilangan bahan tambahan.
Garis panduan itu dibentang dalam satu rujukan teknikal (TR) 87 mengenai Keselamatan Kemudahan Perkilangan Bahan Tambahan.
Ia dibangunkan oleh sebuah kumpulan kerja yang dilantik oleh Majlis Piawaian Singapura (SSC), yang dipantau oleh Enterprise Singapore (ESG).
Satu bidang yang diliputi ialah cara kemudahan tersebut boleh menguruskan bahan berbahaya seperti serbuk besi halus yang membawa ancaman kesihatan kepada pekerja serta toksik bagi sekitaran.
Sistem pengurusan risiko yang disarankan dalam rujukan teknikal itu akan menyokong penggunaan selamat, pengurusan dan simpanan serbuk besi dan peralatan perkilangan bahan tambahan dalam sekitaran terkawal.
Rujukan teknikal itu juga memberi butiran bagi langkah keselamatan perlu untuk melindungi pekerja daripada pendedahan secara langsung kepada serbuk besi, serta sumber dan sistem tenaga berhaba dan berkuasa tinggi.
"Garis panduan ini akan banyak memberi manfaat nanti... JTC akan bekerja sama dengan pelbagai agensi untuk menggalak (syarikat) meneliti garis panduan ini dan melaksanakannya, dan kami akan juga terus membangunkan garis panduan lain sedang keperluan industri berubah," kata Dr Tan.
Sementara itu, Cik Choy Sauw Kook, Pengarah Agung (Mutu dan Kecemerlangan), Enterprise Singapore, berkata mutu dan prasarana piawaian Singapura yang kukuh telah menjadi tunggak penting dalam menarik operasi perkilangan berteknologi tinggi, yang meletakkan premium ke atas keselamatan dan mutu.
"Garis panduan TR 87 ini, yang sejajar dengan amalan terbaik industri dan tuntutan pengalaman tempatan, akan menyediakan ketentuan perniagaan lebih tinggi bagi syarikat yang mahu menyertai sektor perkilangan bahan tambahan semakin berkembang.
"Syarikat kecil dan sederhana tempatan harus merebut manfaat daripada reputasi Singapura, yang dipercayai dan memberikan keyakinan tambahan kepada pengilang global, bahawa produk dan khidmat kita mempunyai tahap mutu dan keselamatan yang baik."

