SEKITAR 450,000 anggota Generasi Perintis (PG) telah meraih manfaat daripada skim tersebut sejak diperkenalkan pada 2014, dengan $3.04 bilion diagihkan hingga 31 Mac lalu.
Sekitar 500,000 anggota Generasi Merdeka (MG) pula telah meraih manfaat sejak 2019, dengan $0.72 bilion sudah diagihkan.
Perangkaan itu diberikan Menteri Negara Kanan (Kewangan merangkap Pengangkutan), Encik Chee Hong Tat, yang turut berkata terdapat 340,000 warga emas PG dan 480,000 warga MG hingga 30 September lalu.
Dua skim itu menyediakan subsidi dan bertujuan mengurangkan kos penjagaan kesihatan golongan warga emas di Singapura, sebagai sebahagian usaha untuk mengiktiraf sumbangan golongan itu.
"Kami menubuhkan Dana PG dan Dana MG untuk memperuntuk wang di peringkat awal bagi pakej tersebut.
"Ini memastikan pemerintah dapat memenuhi komitmennya kepada warga emas PG dan MG, tidak kira keadaan ekonomi atau fiskal pada masa depan," ujarnya di Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Encik Liang Eng Hwa (Bukit Panjang) mengenai dua skim tersebut.
Sebanyak $8 bilion telah diperuntukkan sewaktu pembentukan Dana PG, dan $6.1 bilion bagi Dana MG.
"Kami menetapkan saiz dana itu berdasarkan kos sepanjang hayat yang dianggarkan bagi faedah dalam pakej PG dan MG, setelah mengambil kira inflasi dan faedah terkumpul," ujar Encik Chee.
Dalam beberapa tahun lalu, pemerintah telah meningkatkan faedah PG dan MG dengan memperkenalkan insentif bagi penyertaan untuk CareShield Hayat, serta tokokan Medisave yang lebih tinggi.
"Pemerintah akan terus menyemak skim dan rangka kerja subsidi kami secara menyeluruh dan mengemas kini parameter yang utama apabila diperlukan untuk memastikan penjagaan kesihatan kekal dimampui warga Singapura, termasuk warga emas PG dan MG kami," kata Encik Chee.
Tambahnya, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) menyemak dua dana itu setiap tahun untuk memastikan ia mencukupi.
Hingga 31 Mac lalu, terdapat baki $6.16 bilion dalam Dana PG dan $5.72 bilion dalam Dana MG.
"Ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk mempersiapkan Singapura bagi masyarakat yang menua, dan sebab mengapa pemerintah perlu memastikan kami mempunyai sumber fiskal yang secukupnya untuk menyokong dan menjaga warga emas kami," kata Encik Chee.
Menjawab soalan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) jika sebahagian daripada Dana PG dan MG itu boleh disalurkan kepada Pakej Ihsan Senja untuk menyokong warga emas dengan lebih baik, Encik Chee berkata objektif pakej itu berbeza dengan PG dan MG.
Pemerintah sedia untuk menokok dana PG dan MG jika perlu, dan terus menyemak Pakej Ihsan Senja dari masa ke masa, kata Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg