SELEPAS tinggal di Singapura hampir 20 tahun, Encik Nelius Strydom, 55 tahun, dan isterinya, Cik Stacey Tucker, 51 tahun, yang berpindah ke sini dari Afrika Selatan, memohon kerakyatan Singapura dua tahun lalu.
“Singapura akan sentiasa menjadi rumah kami, kerana kami berkahwin di sini,” kata Encik Strydom, yang bekerja dalam industri fintech.
Memegang tangan suaminya, Cik Tucker kata: “Ya, Singapura tempat kami bersatu sebagai pasangan suami isteri.”
Mereka baru sahaja berkenalan di Afrika Selatan apabila Encik Strydom dihantar ke Singapura untuk bekerja pada 2004.
Cik Tucker, yang kini bekerja sebagai seorang eksekutif pengurusan di sebuah firma guaman, berpindah ke sini untuk bersama Encik Strydom pada 2006. Mereka menjadi Penduduk Tetap (PR) sejak 2008.
Pasangan itu, yang mempunyai tiga anak perempuan dewasa yang tinggal di negara lain, adalah antara 479 warga Singapura baru yang menerima sijil kerakyatan mereka di Majlis Kewarganegaraan Kebangsaan tahunan anjuran Persatuan Rakyat (PA) pada Ahad.
Bercakap di majlis itu, yang berlangsung di ITE Kolej Barat di Choa Chu Kang, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, berkata Singapura sentiasa terbuka kepada dunia bagi aliran barangan dan perkhidmatan, manusia dan idea.
“Kepelbagaian budaya dan kepelbagaian kaumlah yang mentakrifkan kita sebagai sebuah masyarakat dan menjadikan kita negara Singapura yang unik,” kata Encik Gan, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang.
“Hari ini, kita berada di sini untuk mengalu-alukan anda ke dalam keluarga Singapura. Seperti nenek moyang kami beberapa dekad lalu, anda membawa bersama idea, rangkaian dan kemahiran baru anda. Anda membawa bersama keazaman dan keinginan anda untuk membina masa depan lebih baik untuk keluarga anda.”
Majlis tahun ini dimulakan dengan sebuah persembahan oleh Orkestra Cina Keat Hong, sebuah kumpulan kebudayaan di bawah pentadbiran Kelab Masyarakat Chua Chu Kang. Orkestra tersebut memainkan pelbagai muzik, termasuk lagu-lagu Hari Kebangsaan.
Acara berakhir dengan hadirin melafazkan Ikrar Negara dan menyanyikan Lagu Kebangsaan.
Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia berkata kira-kira 23,100 individu menerima kerakyatan Singapura mereka pada 2022. Jurucakapnya berkata walaupun terdapat sedikit variasi tahun ke tahun, pemerintah mengekalkan kadar imigresen akar “dengan berhati-hati dan stabil”.
Permohonan menjadi warganegara Singapura terbuka kepada mereka yang telah menjadi pemastautin tetap sekurang-kurangnya dua tahun dan berumur 21 tahun ke atas.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata faktor seperti hubungan keluarga individu itu dengan warga Singapura, sumbangan ekonomi, kelayakan dan tempoh pemastautin diambil kira untuk menilai keupayaan pemohon menyumbang kepada negara ini, berintegrasi dalam masyarakat dan komitmen mereka untuk kekal di sini.
Cik Tucker berkata: “Ini adalah tempat yang saya cinta... Saya rasa kami paling gembira di sini berbanding di mana-mana tempat yang pernah kami kunjungi.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg