Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4PM sebar keceriaan jelang Syawal kepada 400 keluarga

Apr 12, 2023 | 5:30 AM
SEBAR KECERIAAN: Encik Tan Kiat How (dua dari kanan), yang didampingi Encik Danish Hisham (sebelah kirinya), dan Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain (sebelah kanannya), berinteraksi dengan penerima bantuan di daerah pejabat 4PM di 606 Bedok Reservoir Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
SEBAR KECERIAAN: Encik Tan Kiat How (dua dari kanan), yang didampingi Encik Danish Hisham (sebelah kirinya), dan Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain (sebelah kanannya), berinteraksi dengan penerima bantuan di daerah pejabat 4PM di 606 Bedok Reservoir Road. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

SEBANYAK 400 isi rumah secara keseluruhan terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan golongan kurang upaya meraih manfaat dengan menerima barang dapur serta baucar sebelum menjelangnya Syawal menerusi inisiatif tahunan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Ramadan On Wheels (ROW).

Pada Jumaat, ROW menjalankan pengagihan kedua hamper kepada 200 isi rumah terpilih serta membawa 100 penerima bantuan beli-belah di Sheng Siong menggunakan baucar yang disediakan.

Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How, hadir sebagai tetamu terhormat untuk melancarkan majlis 'flag-off' dan berinteraksi dengan relawan sambil menyaksikan pembungkusan hamper makanan di daerah pejabat 4PM yang terletak di 606 Bedok Reservoir Road.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), pengerusi ROW, Encik Danish Hisham, berkata tanpa sekatan Covid-19 tahun ini, mereka mampu menganjurkan ROW pada skala lebih besar, malah berpeluang membawa penerima bantuan keluar dari rumah mereka untuk membeli-belah.

"Makna di sebalik Ramadan dan Syawal adalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan saya rasa itu amat penting.

"Kami juga mempunyai beberapa bengkel setelah Syawal dan kami mahu menyampaikan banyak kemahiran hidup kepada penerima bantuan.

"Di akhirnya, kami cuba sedaya upaya menyokong penerima bantuan, tidak kira dari segi barangan yang dapat dilihat seperti habuan, atau dari segi meningkatkan kemahiran," ujarnya.

Encik Danish berkongsi bahawa satu kesegaran dalam program ROW tahun ini adalah usaha baru yang membolehkan seramai 100 penerima bantuan membeli-belah secara dalam talian.

Wadah digital itu dibangunkan oleh Hello Bumi, sekumpulan relawan di bawah 4PM.

Antara anggota kumpulan itu ialah Cik Sofia Salina Ngapani, 29 tahun.

"Sebelum ini, pesanan dibuat secara manual... kini kami mereka laman web untuk penerima bantuan supaya mereka mempunyai kebebasan pilih barangan yang mereka mahukan. Mereka boleh gunakannya menerusi telefon bimbit atau komputer justeru ia amat mudah bagi mereka," katanya.

Encik Danish berkata usaha sebegini memperkasa penerima bantuan kerana mereka dapat memilih barang yang mereka benar-benar mahukan, bukan sekadar ditentukan pihak penganjur.

Tahun ini, lebih 400 relawan telah menyingsing lengan bagi menjayakan ROW.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Sayeed-Ul Mursalin, 32 tahun, yang sudah menjadi relawan selama tiga tahun.

"Sebagai sebuah masyarakat, ini (semangat sukarela) menyatukan orang ramai, untuk melakukan sesuatu secara kolektif buat masyarakat supaya dapat memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dan golongan miskin," ujar eksekutif undang-undang dan pematuhan itu.

Salah seorang penerima bantuan ROW yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Kim, 53 tahun, meluahkan penghargaan atas bantuan yang dihulurkan 4PM serta usaha golongan relawan.

Beliau yang tidak bekerja, berpeluang membeli-belah di Sheng Siong menggunakan baucar yang diberikan 4PM.

Beliau berkata ia meringankan bebannya dan memanjatkan kesyukuran dapat membeli barang kering yang beliau perlukan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg