Topik diikuti
Pergi ke BHku5 badan penjagaan kesihatan masyarakat gabung, perkukuh khidmat kepada pesakit kronik
5 badan penjagaan kesihatan masyarakat gabung, perkukuh khidmat kepada pesakit kronik
5 badan penjagaan kesihatan masyarakat gabung, perkukuh khidmat kepada pesakit kronik
Lima pertubuhan penjagaan kesihatan masyarakat telah bergabung dengan matlamat memudahkan rakyat Singapura mencegah dan menguruskan penyakit kronik.
Dikenali sebagai SG Health Alliance, usaha kolektif itu bertujuan membantu lebih ramai orang memahami risiko kesihatan mereka, mengambil tindakan pencegahan lebih awal serta mendapatkan penjagaan dan sokongan yang sesuai dalam masyarakat.
Pakatan itu terdiri daripada Diabetes Singapore, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Persatuan Barah Singapura (SCS), Yayasan Jantung Singapura (SHF) dan Stesen Sokongan Strok (S3).
Dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, di Bukit Canberra pada 28 November, kumpulan itu akan bekerjasama dengan tiga kluster penjagaan kesihatan serantau – iaitu NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth – untuk memajukan kesihatan melalui pencegahan.
Menurut Ketua Eksekutif NKF, Cik Yen Tan, gabungan itu membawa mesej yang mudah tetapi penting: walaupun melibatkan lima jenis penyakit yang berbeza, semuanya saling berkait dan membuka peluang untuk usaha pencegahan dilakukan secara bersama.
“Penyakit kencing manis, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, strok dan kanser berkongsi beberapa faktor risiko asas dan boleh menjejas orang yang sama. Di NKF, kami melihat pesakit datang untuk dialisis kerana kegagalan buah pinggang akibat penyakit kencing manis.
“Dialisis boleh memberi tekanan besar kepada jantung dan menyumbang kepada komplikasi kardiovaskular dalam jangka masa panjang,” katanya.
“Justeru, sememangnya wajar lima organisasi masyarakat ini menyatukan kepakaran dan rangkaian mereka untuk mengukuhkan pendidikan awam, menggalakkan pengesanan awal dan membantu rakyat Singapura menguruskan kesihatan mereka dengan lebih baik.”
Berucap semasa pelancaran itu, Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata:
“Jika beberapa penyakit mempunyai punca yang sama, genetik boleh dianggap sebagai ‘ibu’ kepada penyakit tersebut, manakala gaya hidup pula sebagai ‘bapanya’.
“Walaupun kita tidak dapat mengubah genetik yang diwarisi, kita masih boleh memperbaiki gaya hidup secara beransur-ansur.”
Beliau berkata banyak penyakit kronik disebabkan oleh gaya hidup. Tidur, pemakanan, senaman dan aktiviti sosial kekal penting untuk mencegah, mengawal dan menguruskannya.
Dengan organisasi kesihatan masyarakat bekerjasama, mereka boleh menggabungkan sumber dan kepakaran untuk menyediakan sokongan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Pakatan itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu penjagaan pesakit serta memperkukuh kerjasama antara organisasi anggota melalui sistem rujukan silang.
Sebagai contoh, pesakit di NKF yang didapati menghidap penyakit jantung boleh dirujuk kepada Pusat Kesejahteraan Jantung SHF untuk sokongan pemulihan.
Salah seorang pesakit yang bakal mendapat manfaat ialah seorang suri rumah, Cik Fadzrina Sobri, 56 tahun.
Fadzrina menghidap diabetes dan, seperti orang lain yang hidup dengan penyakit kronik, beliau juga mempunyai masalah jantung dan buah pinggang.
“Saya didiagnosis menghidap diabetes pada 2004 dan diberi ubat untuk mengawalnya. Namun, pada 2019, saya mengalami serangan jantung pertama.
“Doktor mendapati tiga arteri saya tersumbat. Walaupun disarankan menjalani prosedur pemasangan stent, saya menolaknya,” katanya.
Pada 2024, buah pinggangnya gagal dan doktor menasihatinya menjalani dialisis.
Beliau menambah bahawa pertemuan pelbagai organisasi itu akan memberi manfaat kepada orang sepertinya serta ahli keluarganya, kerana akses kepada maklumat kesihatan dan perkhidmatan saringan akan menjadi lebih mudah dan cepat.