Topik diikuti
Pergi ke BHkuJumlah BTO tertangguh enam bulan kini kurang 60% dari keseluruhan projek
Jumlah BTO tertangguh enam bulan kini kurang 60% dari keseluruhan projek
Jumlah BTO tertangguh enam bulan kini kurang 60% dari keseluruhan projek
BILANGAN projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tertangguh selama enam bulan atau lebih telah berkurangan kepada 58 projek atau kurang 60 peratus daripada keseluruhan projek, bulan lalu.
Angka tersebut lebih rendah berbanding 74 projek atau lebih 80 peratus daripada kesemua projek pada tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam jangka masa dua tahun akan datang, anggaran tempoh penantian adalah sekitar empat dengan 4.5 tahun.
Tempoh tersebut lebih rendah berbanding masa kini - antara empat dengan lima tahun - menyusuli kesan pandemik Covid-19 ke atas sektor binaan.
Ini dinyatakan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semasa lawatannya ke projek BTO Northshore Edge, semalam.
Menurut beliau isu tenaga kerja yang sebelum ini membelenggu sektor tersebut termasuk projek-projek BTO kini bertambah baik.
"Semasa tempoh pemutus litar pada 2020, hampir kesemua kerja binaan terpaksa ditangguhkan.
"Projek-projek tidak dapat diteruskan untuk beberapa bulan, dan hanya disambung semula secara perlahan selepas itu.
"Meskipun begitu, untuk tempoh yang agak lama, kontraktor BTO kami sukar mendapatkan pekerja masuk ke Singapura, kerana larangan perjalanan yang dikenakan bagi melindungi kesihatan awam.
"Saban masa, bekalan bahan binaan juga terjejas apabila negara-negara yang kami import bahannya menutup sempadan mereka, atau berhenti kerja akibat pandemik," katanya.
Namun kini atas kerja keras dan kolaborasi rapat antara Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan kesemua rakan bagi rangkaian bekalan, terdapat sedikit kemajuan yang dilihat, tambah Encik Lee.
"Di kesemua tapak BTO, kami kini mempunyai hampir kesemua pekerja yang kami perlukan untuk selesaikan projek mengikut perancangan.
"Hanya antara enam dengan lapan bulan lalu, kami hadapi kekurangan sehingga 25 peratus pekerja daripada yang diperlukan," ujarnya lagi.
Projek BTO Northshore Edge yang terletak dekat Punggol itu mempunyai sebanyak tiga blok dengan 388 unit empat dan lima bilik - 401A, 402A dan 402B.
Sehingga semalam seramai 70 pembeli telah mengambil kunci ke flat-flat baru mereka di Blok 402B di Northshore Edge.
Terdapat sebanyak 119 unit flat di Blok 402B di mana 118 unit telah ditempah.
Lebih ramai penghuni dijangka mendapatkan kunci mereka dalam beberapa minggu mendatang.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk jambatan rangkaian, pusat jagaan kanak-kanak. taman permainan kanak-kanak, stesen kecergasan untuk golongan dewasa serta warga senja, dan tempat letak kereta bertingkat.
Projek BTO Northshore Edge sepatutnya selesai pada suku keempat tahun lalu. Namun akibat pandemik, ia tertangguh sekitar enam bulan.
Encik Lee juga menyatakan bahawa HDB telah selesai membina hampir 15,000 flat baru tahun lalu, lebih tinggi berbanding 13,500 pada 2019 sebelum pandemik berlaku.
Malah tahun ini, HDB berkata ia telah memberi kunci kepada para pembeli flat setiap hari, dan dalam perancangan untuk memberikan lebih banyak kunci berbanding tahun lalu.
Meskipun sektor binaan sudah mula menunjukkan kemajuan, namun Encik Lee berkata masih akan ada penangguhan memandangkan sektor tersebut masih "belum keluar daripada kesekuraran".
"Kemajuan masih perlu terus dipantau secara teliti," katanya lagi.
Laporan lanjut: Akhirnya terima kunci flat tertangguh dek Covid-19
5 BTO bakal dilancar
LIMA projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) akan dilancarkan esok, termasuk dua di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).
Permohonan bagi flat tersebut ditutup pada 2 Jun ini, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee semalam.
Pelancaran BTO bulan ini akan menyaksikan sekitar 4,500 unit di estet matang Bukit Merah, Queenstown dan Toa Payoh serta estet bukan matang di Jurong West dan Yishun.
Projek di Bukit Merah dan Queenstown diletakkan di bawah model PLH, kata HDB Isnin lalu.
Projek BTO di bandar seperti Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chu Kang, Jurong East, Queenstown dan Woodlands akan ditawarkan pada Ogos ini.
Encik Lee menambah sehingga 100,000 flat HDB baru akan dilancarkan antara 2021 dengan 2025, berdasarkan permintaan.
