Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 dikejar ke hospital selepas disengat tebuan di Sungei Buloh

Jul 15, 2024 | 6:59 PM
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 4.55 petang pada 14 Julai.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 4.55 petang pada 14 Julai. - Foto TANGKAP LAYAR DARI FACEBOOK

Satu kawasan di Paya Simpanan Sungei Buloh telah dikepung agar tidak dikunjungi orang ramai, selepas lima orang dikejarkan ke hospital akibat disengat sekawan tebuan pada 14 Julai.

Pengarah Kumpulan Pemuliharaan Lembaga Taman Negara (NParks), Encik Lim Liang Jim, berkata agensi tersebut akan meninjau tapak serangan tebuan itu – di sepanjang denai burung migrasi berhampiran Platform 1, untuk mencari sarang tebuan di kawasan tersebut.

Para pegawai NParks telah membantu sebilangan pelawat yang terkena serangan tebuan itu, sebelum mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan lanjut, tambah beliau dalam jawapannya kepada pertanyaan The Straits Times (ST) pada 15 Julai.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di Paya Simpanan Sungei Buloh pada 4.55 petang pada 14 Julai.

Akibat serangan tebuan itu, empat orang dikejarkan ke Kampus Kesihatan Woodlands (WHC) dan seorang lagi dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), tambahnya.

Dalam satu catatan yang dimuat naik ke laman media sosial Cina, Xiaohongshu, seorang pelawat yang berlalu di Paya Simpanan Sungei Buloh berkata beliau melihat empat ambulans dan sekumpulan pelawat meletakkan pek ais di kepala mereka.

Pengguna itu berkata beliau dimaklumkan oleh saudara salah seorang pelawat berkenaan bahawa mereka telah “disengat lebah”.

Tebuan yang bertubuh besar tinggal dalam koloni besar dan membina sarangnya menggunakan gentian tumbuhan. Seperti lebah madu, ia “mudah menyengat” untuk mempertahankan sarangnya, kata Encik Lim.

Dalam persekitaran semula jadi, tebuan boleh membina sarangnya di atas pokok, dalam semak rendah, dan malah di atas tanah, tambahnya.

Encik Lim menasihatkan mereka yang menemui tebuan agar bertenang dan jangan memukul serangga itu.

Mereka yang disengat tebuan harus basuh luka dengan sabun dan air, dan meletakkan pek ais pada luka, kata Encik Lim.

“Mereka harus mendapatkan rawatan perubatan segera jika berlaku reaksi alahan seperti ruam, bengkak atau sesak nafas,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg