5 kes baru Covid-19; tiada kes masyarakat
TERDAPAT lima kes Covid-19 baru di Singapura hingga tengah hari semalam, menjadikan jumlah kes secara keseluruhan mencecah 58,325 kes.
Kesemuanya merupakan kes yang diimport, dan mereka telah diarah menjalani Notis Jangan Keluar Rumah setibanya di Singapura, menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Tiada kes dalam masyarakat mahupun dalam dormitori yang dikesan, kata MOH lagi.
Kelmarin, terdapat tujuh kes koronavirus baru yang dilaporkan, kesemuanya merupakan kes import.
Mereka terdiri daripada seorang penduduk tetap, seorang pemegang pas kerja, empat pemegang permit kerja dan seorang pemegang pas tanggungan.
Penduduk tetap itu merupakan seorang remaja berusia 13 tahun yang baru pulang dari India.
Lima daripada kes import itu melibatkan individu yang bekerja di sini.
Salah seorang daripada mereka merupakan pemegang pas kerja berusia 33 tahun, seorang warga India yang tiba dari negara tersebut.
Empat lagi merupakan pemegang permit kerja - seorang warga Filipina berusia 38 tahun; dua wanita warga India berusia 34 tahun dan 27 tahun; serta seorang warga Indonesia berusia 26 tahun.
Kes terakhir yang diimport itu merupakan pemegang pas tanggungan, seorang wanita Indonesia berusia 36 tahun.
Kesemua tujuh kes import itu tidak menunjukkan gejala apabila mereka menjalani ujian Covid- 19.
MOH berkata siasatan epidemiologi sedang dijalankan, sambil menambah bahawa semua kenalan rapat pesakit telah dikenal pasti, diasingkan dan dikuarantin.
MOH juga berkata bilangan kes baru dalam masyarakat kekal rendah, dengan tiada kes baru dalam seminggu lalu.
Sehingga kelmarin, seramai 58,193 pesakit telah pulih daripada penyakit ini.
Sebanyak 21 pesakit masih berada di hospital, dengan tiada yang menjalani rawatan intensif, sementara 62 pesakit sedang pulih di kemudahan masyarakat.

