Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 sebab Arab Saudi destinasi bagi niaga, pelancongan

Sep 13, 2024 | 2:38 PM
Madain Saleh, sebuah tapak arkeologi di Al-Ula, Arab Saudi menampilkan 131 makam diukir dan dipotong pada batu yang kekal utuh, menjadi tempat tarikan pelancong untuk mereka yang datang ke negara Timur Tengah itu.
Madain Saleh, sebuah tapak arkeologi di Al-Ula, Arab Saudi menampilkan 131 makam diukir dan dipotong pada batu yang kekal utuh, menjadi tempat tarikan pelancong untuk mereka yang datang ke negara Timur Tengah itu. - Foto SURUHANJAYA PELANCONGAN DAN WARISAN KEBANGSAAN SAUDI

Baru-baru ini, Berita Harian (BH) telah bertemu Menteri Perusahaan dan Sumber Mineral Arab Saudi, Encik Bandar Ibrahim Alkhorayef, semasa lawatan rasminya ke Singapura.

Dalam wawancara bersama BH, Encik Alkhorayef berkongsi tentang pelbagai langkah yang sedang dilakukan negara Timur Tengah itu untuk mempelbagaikan dan memajukan ekonominya, serta usaha Arab Saudi meneroka kerjasama dengan Singapura dalam pelbagai sektor seperti pengeluaran dan teknologi.

Beliau juga berkongsi tentang sebab-sebab mengapa Arab Saudi destinasi terpilih seterusnya bagi perniagaan dan juga pelancongan.

Berikut perkongsian Menteri Perusahaan dan Sumber Mineral Arab Saudi, Encik Bandar Ibrahim Alkhorayef:

1) Ekonomi semakin berkembang

Pelbagai usaha sedang dilakukan Arab Saudi untuk mengubah ekonominya yang bergantung pada minyak menjadi sebuah ekonomi yang lebih rencam, kata Encik Alkhorayef.

Ini dipandu oleh pelan transformasi negara mereka, Visi 2030.

Visi ini bertujuan mempelbagaikan ekonomi mereka, termasuk dalam sektor pelancongan, pengeluaran, logistik dan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menawarkan pelbagai peluang kepada perniagaan.

Para atlet Arab Saudi bergambar semasa majlis penutup Sukan Olimpik Paris 2024 di Stade de France pada 11 Ogos 2024. Menurut laporan Saudi Gazette, negara Timur Tengah itu merupakan sebuah negara muda dengan penduduk berusia 30 tahun ke bawah membentuk 63 peratus daripada populasi negara itu.
Para atlet Arab Saudi bergambar semasa majlis penutup Sukan Olimpik Paris 2024 di Stade de France pada 11 Ogos 2024. Menurut laporan Saudi Gazette, negara Timur Tengah itu merupakan sebuah negara muda dengan penduduk berusia 30 tahun ke bawah membentuk 63 peratus daripada populasi negara itu. - Foto AFP

2) Rakyat muda, mahir teknologi

Salah satu aset terpenting Arab Saudi merupakan rakyatnya.

Menurut laporan Saudi Gazette, negara Timur Tengah itu mempunyai populasi muda, dengan usia median penduduknya ialah 29 tahun.

Penduduk yang berusia 30 tahun ke bawah membentuk 63 peratus daripada populasi negara itu. Encik Alkhorayef menyifatkan penduduk muda Saudi sebagai “dinamik, berpendidikan dan celik teknologi”.

Syarikat petroleum dan gas asli milik kerajaan Arab Saudi, Aramco, telah membuat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dalam usaha memainkan peranan menangani isu perubahan iklim. Di bawah program transformasi Visi 2030 mereka, Arab Saudi sedang berusaha mengubah ekonominya yang bergantung pada minyak menjadi sebuah ekonomi yang lebih rencam.
Syarikat petroleum dan gas asli milik kerajaan Arab Saudi, Aramco, telah membuat pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dalam usaha memainkan peranan menangani isu perubahan iklim. Di bawah program transformasi Visi 2030 mereka, Arab Saudi sedang berusaha mengubah ekonominya yang bergantung pada minyak menjadi sebuah ekonomi yang lebih rencam. - Foto AFP

3) Bangunkan huraian tangani cabaran global

Selain giat berusaha mempelbagaikan ekonomi mereka, Arab Saudi juga mahu memainkan peranan dalam membantu mencari huraian untuk menangani cabaran sejagat.

Misalnya, dalam isu gangguan rantaian bekalan global, Encik Alkhorayef berkata negara itu menawarkan peluang besar untuk menjadi tempat bagi pemain global bertapak dalam sektor pengeluaran dan mendekati pasaran berbeza.

Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kepada pameran besar Expo 2030 di Riyadh yang menghimpunkan negara-negara untuk mempamerkan inovasi dan menangani cabaran global.
Arab Saudi akan menjadi tuan rumah kepada pameran besar Expo 2030 di Riyadh yang menghimpunkan negara-negara untuk mempamerkan inovasi dan menangani cabaran global. - Foto fail

4) Pelancongan & hiburan

Sektor pelancongan dan hiburan kian rancak di Arab Saudi, dengan negara Timur Tengah itu bakal menjadi tuan rumah kepada beberapa acara mega di dunia.

Ini termasuk menganjurkan acara perlawanan bola sepak Piala Dunia pada 2034, dan Expo 2030 di Riyadh yang menghimpunkan negara-negara untuk mempamerkan inovasi dan menangani cabaran global.

Tempat tarikan menarik pula termasuk Madain Saleh, sebuah tapak arkeologi di Al-Ula yang menampilkan 131 makam diukir dan dipotong pada batu.

Sejajar dengan Visi 2030 mereka – iaitu program transformasi Saudi – negara itu menyasar meningkatkan sumbangan industri pelancongan kepada lebih 10 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) menjelang 2030.

Selami air biru Lautan Merah di Tabuk dan saksikan keindahan terumbu karang berwarna-warni. Tabuk, yang terletak berhampiran sempadan Arab Saudi-Jordan, juga terkenal bagi wadi yang indah, iaitu lembah tidak berair di padang pasir.
Selami air biru Lautan Merah di Tabuk dan saksikan keindahan terumbu karang berwarna-warni. Tabuk, yang terletak berhampiran sempadan Arab Saudi-Jordan, juga terkenal bagi wadi yang indah, iaitu lembah tidak berair di padang pasir. - Foto SURUHANJAYA PELANCONGAN DAN WARISAN KEBANGSAAN SAUDI

5) Kaya dengan budaya, tempat menarik

Arab Saudi membuka negaranya bukan hanya dalam aspek ekonomi, malah dalam aspek budaya dan sosial juga.

Encik Alkhorayef mengalu-alukan kunjungan orang ramai untuk mengenali negara mereka yang kaya dengan budaya dan warisan sejarah.

Beliau berkata rakyat Arab Saudi “sangat baik hati dan ingin berkongsi dan menunjukkan kepada semua budaya dan warisan kami, serta negara indah kami dengan pantai, gunung-ganang dan padang pasir yang indah”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg