LIMA lelaki warga Indonesia ditangkap pada April lalu kerana didapati mempunyai 152 karton rokok haram di atas kapal tunda berdaftar di Singapura di perairan dekat Pulau Kusu.
Dalang jenayah, Ihsan Putra, 38 tahun, berniat menjual rokok-rokok tersebut kepada anak kapal di perairan Singapura.
Dia juga mendapatkan bantuan empat warga Indonesia lain untuk melakukan perkara tersebut.
Mereka ialah Dorik Puguh Prayitno, 31 tahun; Apriau Russal Daputra, 32 tahun; Salmon Ampang, 34 tahun; dan Linus Anthon, 36 tahun.
Semalam, Ihsan dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dua minggu setelah mengaku bersalah ke atas dua tuduhan di bawah Akta Kastam.
Empat lelaki lain itu yang mengaku bersalah atas tuduhan serupa, masing-masing dihukum penjara empat bulan.
Rokok haram itu mempunyai cukai eksais hampir $21,000 sementara cukai barangan dan perkhidmatannya bernilai lebih $1,500, lapor The Straits Times.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Marvin Bay berkata:
"Hukuman tegas ke atas kegiatan penyeludupan semacam itu diperlukan lebih-lebih lagi memandangkan amaran tinggi dalam tempoh Covid-19 sekarang ini."
Mahkamah diberitahu bahawa pada 18 April lalu, Ihsan telah menghubungi pembekal rokok haram, seorang lelaki warga Indonesia bernama 'Aji', dan membeli 152 karton rokok pada harga $35 setiap karton.
Ihsan, yang berniat menjual rokok-rokok itu pada keuntungan $50 setiap karton, kemudian mendapatkan bantuan empat lelaki tersebut untuk mengambil dan mengagihkan rokok-rokok itu.
Ihsan juga berjanji berkongsi keuntungan sama rata dengan mereka.
Sekitar jam 3 pagi keesokan harinya, Apriau mengemudi kapal tunda Tangkas yang berdaftar di Singapura menuju Pulau Kusu untuk mengambil rokok itu.
Empat lelaki Indonesia yang tidak dikenali kemudian menghampiri kapal tunda dengan sampan bermotor.
Mereka kemudian mencampakkan rokok-rokok itu yang telah dibungkus dengan beg plastik sampah ke dalam kapal tunda tersebut.
Linus dan Salmon kemudian meletakkan rokok-rokok itu di dalam bilik enjin kapal tunda itu, dan Ihsan serta Dorik menyembunyikannya di dalam sebuah lubang.
Pegawai-pegawai Polis Pengawal Pantai Singapura yang melakukan rondaan di perairan di bahagian selatan negara pada sekitar 4 pagi hari itu dimaklumkan untuk mengawasi kapal tunda tersebut.
Para pegawai kemudian menaiki kapal tunda itu dan menemui rokok haram yang telah diseludup itu.
Kelima-lima lelaki yang terlibat kemudian ditangkap.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg