Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

50 pokok ditanam sempena ulang tahun ke-50 MSE

Sep 16, 2022 | 5:30 AM
MENANAM POKOK: Cik Grace Fu (kiri) dan Encik Fong Chee Leong, 72 tahun, bekas ketua pengarah Kementerian Alam Sekitar (Ministry of Environment), yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), menanam pokok Horsfieldia polyspherula di Punggol Waterway Park sempena menyambut ulang tahun ke-50, semalam. - Foto BH oleh CHONG JUN LIANG
MENANAM POKOK: Cik Grace Fu (kiri) dan Encik Fong Chee Leong, 72 tahun, bekas ketua pengarah Kementerian Alam Sekitar (Ministry of Environment), yang kini dikenali sebagai Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), menanam pokok Horsfieldia polyspherula di Punggol Waterway Park sempena menyambut ulang tahun ke-50, semalam. - Foto BH oleh CHONG JUN LIANG -

SEMPENA sambutan ulang tahun ke-50 Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), ia telah menanam 50 pokok di bawah program 'Plant-A-Tree Garden City Fund' bersama rakan kongsinya semalam di Taman Punggol Waterway.

Punggol Waterway Park telah dipilih untuk upacara penanaman pokok yang terletak di dalam bandar eko pertama Singapura, Punggol.

Majlis itu dihadiri oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran, Dr Amy Khor; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Encik Baey Yam Keng.

"Kami adalah antara negara pertama yang membentuk Kementerian Kemampanan dan Sekitaran untuk menangani isu pencemaran dan kesihatan alam sekitar.

"Pada 2020, kami menamakan semula Kementerian untuk mencerminkan penekanan kuat pemerintah terhadap kemampanan dan komitmen kami terhadap tindakan iklim," kata Cik Grace Fu.

Setiap pokok yang ditanam menyumbang kepada projek gerakan OneMillionTrees oleh NParks, yang merupakan sebahagian daripada usaha mengubah Singapura menjadi 'City in Nature', tonggak utama di bawah Rancangan Hijau Singapura 2030.

Pokok-pokok yang ditanam pada acara itu termasuk Asam Gelugor (Garcinia atroviridis), Pianggu (Horsfieldia irya), spesies asli yang sangat terancam, dan juga Penarahan Tandok (Knema curtisii).

"Kami memutuskan untuk menanam 50 pokok di Punggol Waterway Park kerana pokok yang ditanam oleh generasi terdahulu akan memberi teduhan kepada generasi akan datang.

"Dengan menanam pokok ini, kami memperbaharui komitmen demi membina sebuah negara hijau dan berdaya tahan iklim 50 tahun dari sekarang," tambah Cik Grace Fu.

Cik Nor Nor Lastrina Hamid, 33 tahun, yang menubuhkan kumpulan Belia Singapura bagi Menangani Kesan dan Keragaman Iklim pada 2015, gembira acara penanaman pokok itu akan menyatukan golongan tua dan muda untuk bersama berusaha ke arah membina Singapura yang lebih hijau dan berdaya tahan.

"Saya berharap pada masa akan datang, lebih ramai golongan belia akan terlibat dalam penggubalan dasar mengenai isu alam sekitar yang boleh kita usahakan bersama," dedahnya.

Cik Nor Lastrina Hamid telah melihat perkembangan lebih banyak antara kumpulan tindakan iklim yang menggunakan suara mengenai isu ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg