Topik diikuti
Pergi ke BHku5,000 peserta jayakan larian amal sokong kajian barah
5,000 peserta jayakan larian amal sokong kajian barah
Seramai 5,000 peserta berhimpun di Bendungan Marina pada 29 November bagi menjayakan acara larian amal tahunan, Run For Hope 2026, dalam usaha memperkasa kesedaran serta menyokong kajian dan penyelidikan bagi penyakit barah.
Ini merupakan edisi ke-33 sejak acara itu diperkenalkan, sekali gus mencatatkan penyertaan penuh bagi kategori larian sejauh lima kilometer dan 10 kilometer.
Acara tersebut dianjurkan Hotel Four Seasons Singapura dengan kerjasama Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS).
Tetamu terhormat, Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng, telah memulakan acara larian itu secara rasmi.
Sepanjang lebih tiga dekad penganjurannya, Run For Hope berjaya mengumpul lebih $2.7 juta bagi Dana Penyelidikan NCCS (NCC Research Fund) untuk memacu kajian perubatan terhadap penyakit tersebut.
Barah kekal sebagai cabaran kesihatan utama di Singapura dengan 91,574 kes dilaporkan antara 2019 dengan 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NCCS, Profesor Lim Soon Thye, berkata pelaburan berterusan dalam bidang penyelidikan amat penting bagi mendalami pemahaman mengenai penyakit itu dan menghasilkan rawatan yang lebih berkesan.
“Di sebalik setiap diagnosis barah, terdapat insan dan ahli keluarga dengan kehidupan yang berubah akibatnya.
“Setiap sumbangan membantu memajukan penyelidikan penjagaan barah dan membawa kita selangkah lebih dekat ke arah masa depan bebas barah,” katanya.
Sementara itu, edisi tahun ini turut melakar sejarah tersendiri dengan kemeja-T rasmi acara itu buat julung-julung kalinya direka oleh seorang pesakit NCSS, Cik Cindy Neo, yang juga pengasas studio seni Room To Imagine.
Disahkan menghidap barah pada 2017, Cik Neo menampilkan motif reben dengan garisan beralun pada rekaannya sebagai lambang kekuatan, transformasi dan harapan.
“Menerima penjagaan yang begitu baik daripada NCCS membuatkan saya ingin membalas jasa. Mengetahui ribuan orang menyarung rekaan ini sambil bersatu menyokong penyelidikan barah amat bermakna buat saya,” ujar beliau.