Sejak berusia 18 tahun, kehidupan Encik Shahnavas Mohd Mustafa berkisar pada Pelabuhan Jurong.
Keakraban yang terjalin bersama rakan sekerja beliau di tempat kerja adalah salah satu faktor yang memikatnya untuk kekal bekerja di sana selama 51 tahun.
Baru-baru ini, karyawan mapan itu menerima Anugerah Bakti Setia daripada majikannya bagi mengiktiraf sumbangan beliau yang begitu lama kepada Pelabuhan Jurong.
Ketika Berita Harian menemu bual beliau di pejabatnya di Pelabuhan Jurong baru-baru ini, Encik Shahnavas sedang meraikan ulang tahun ke-51 beliau bertugas di situ.
Kerjaya Encik Shahnavas di Pelabuhan Jurong bermula pada 1973 apabila beliau memasuki dunia pekerjaan selepas tamat sekolah menengah.
Pada permulaan kerjayanya, Encik Shahnavas melakukan pelbagai tugas dalam jabatan operasi, termasuk memastikan pemunggah kargo melakukan kerja mereka dan menguruskan penyimpanan serta dokumentasi kargo.
Mula beroperasi pada 1965, Pelabuhan Jurong merupakan pengendali pelabuhan pelbagai guna, termasuk kargo, bagi memenuhi keperluan pembangunan kawasan perindustrian Jurong.
Antara barangan keperluan, atau komoditi, yang dibawa masuk ke Singapura menerusi pelabuhan itu ialah simen, kayu dan bahan mentah lain.
Ia khusus untuk digunakan bagi pembangunan kawasan perindustrian Jurong dan untuk menghasilkan konkrit bagi membangunkan rumah.
Kini dalam usia 69 tahun, Encik Shahnavas menyandang jawatan pengurus perancangan operasi dan mengurus tujuh kakitangan dalam jabatannya.
“Saya memastikan kapal diperuntukkan pangkalan untuk berlabuh apabila ia memasuki Pelabuhan Jurong,” ujarnya.
Pangkalan adalah tempat untuk kapal berlabuh, biasanya untuk memunggah kargo.
Selain peruntukan pangkalan, beliau memastikan pangkalan yang tidak digunakan akan diperbaiki dan semua kapal berlabuh tepat pada masanya.
“Tidak semua pangkalan adalah sama. Ia mempunyai kedalaman, saiz kawasan dan kemampuan yang berbeza.
“Berdasarkan keperluan kapal, kami memperuntukkan pangkalan yang sesuai supaya kapal boleh memunggah kargo dengan mudah.
“Ia memerlukan perancangan yang baik, kemahiran untuk memandang jauh dan fleksibiliti untuk menjalankan tugas ini dengan baik.
“Kami juga sentiasa berinteraksi dengan pelanggan untuk memupuk hubungan dan menyediakan perkhidmatan baik kepada semua pengguna pelabuhan kami,” kata beliau semasa di temui Berita Harian baru-baru ini.
Pasukan Encik Shahnavas menggunakan perisian komputer untuk mengenal pasti pangkalan yang sedia ada dan sesuai bagi kapal yang ingin berlabuh.
Pasukannya kemudian berhubungan dengan kakitangan di atas kapal menerusi e-mel atau telefon dan memberitahu mereka pangkalan yang telah diperuntukkan.
Dalam temu bual bersama BH, dengan penuh ghairah beliau berkongsi mengapa tidak terlintas di fikirannya untuk menukar pekerjaan meskipun sudah berkhidmat di sana selama lebih setengah abad.
Selain keakraban yang sudah terjalin bersama rakan sekerja, Pelabuhan Jurong menawarkan faedah perubatan yang baik dan peluang melanjutkan pelajaran yang telah dimanfaatkannya.
“Ketika saya bermula bekerja, kelulusan tertinggi saya ialah GCE peringkat ‘O’, jadi saya bersyukur apabila syarikat menaja saya dan kakitangan lain untuk mengikuti pengajian lanjutan dalam Diploma Pengajian Maritim.
“Selain menaja pengajian diploma saya, Pelabuhan Jurong mencalonkan saya untuk menerima pelbagai anugerah berprestij.
“Penghargaan ini adalah bukti yang saya dikelilingi pasukan dan rakan sekerja yang luar biasa,” ujar Encik Shahnavas dengan senyuman lebar.
Pengiktirafan Pelabuhan Jurong tidak terhad buat Encik Shahnavas sahaja.
Ketiga-tiga anaknya – dua lelaki dan seorang perempuan – merupakan penerima Anugerah Dermasiswa Pelabuhan Jurong sepanjang persekolahan mereka, yang membantu meringankan beban kewangan keluarganya.
Anak lelaki pertamanya kini seorang guru, yang kedua pengurus di sebuah syarikat berbilang negara (MNC), sementara anak perempuannya bertugas sebagai perunding kanan juga di sebuah MNC.
Mengulas tentang betapa Pelabuhan Jurong telah berkembang sepanjang tahun sejak beliau mula menyertainya, Encik Shahnavas berkata:
“Dahulu, Pelabuhan Singapura hanya mempunyai lima pangkalan. Tetapi apabila industri pelabuhan berkembang, Pelabuhan Jurong juga berkembang dan kami kini mempunyai 28 pangkalan dan dua tanjakan.
“Sebagaimana Pelabuhan Jurong telah menjalani kemajuan dan menyaksikan perkembangan saya, saya ingin menyumbang kepada syarikat ini selagi saya boleh.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg