SEBANYAK 52 kes jangkitan Covid-19 tidak berkait dilaporkan antara 162 kes baru dalam masyarakat semalam, yang tertinggi tahun ini.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata 87 kes baru dalam masyarakat adalah dari kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong yang kini mempunyai 541 kes.
Lagi lima kes baru pula berkait dengan kelompok KTV, yang kini mempunyai 220 kes.
Bersama lapan kes diimport, secara keseluruhan terdapat 170 kes Covid-19 baru semalam.
Semua kes diimport telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.
Dalam pada itu, penduduk yang menetap di empat blok di Sims Avenue harus menjalani ujian mandatori Covid-19 selepas serpihan virus dikesan dalam sampel air sisa yang dikumpul dari blok-blok itu.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata semalam ia sedang menyiasat kemungkinan penyebaran Covid-19 di Blok-Blok 842, 844, 846 dan 848 Sims Avenue, yang dekat dengan Pasar Geylang Serai.
Siasatan sedang berjalan untuk menentukan kaitan dan sumber penyebaran, tambah kementerian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg