SEBANYAK 529 kes denggi dilaporkan minggu lalu, lebih tinggi daripada 300 hingga 400 kes seminggu yang dicatat dalam tiga bulan pertama tahun ini.
Menyatakan demikian dalam catatan di Facebook pada Selasa (19 Mei), Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata terdapat lebih banyak kes denggi jenis DENV-3 - sesuatu yang jarang berlaku di Singapura. Hal ini merisaukan kerana penduduk Singapura mempunyai imuniti rendah terhadap denggi jenis itu, katanya. Encik Masagos berkata bulan-bulan akan datang yang lebih panas dijangka memendekkan kitaran pertumbuhan nyamuk aedes, dan meningkatkan kadar pembiakan. Ini boleh membawa kepada penularan denggi lebih tinggi. Menurutnya lagi, dari Januari hingga April, NEA telah menjalankan 310,000 pemeriksaan di serata Singapura dan menemui lebih 6,400 habitat pembiakan nyamuk. "Dengan kita bekerja dari rumah, ini adalah peluang baik untuk mencegah habitat pembiakan dengan melakukan Mozzie Wipeout setiap hari, dan menyemburkan racun serangga di sudut gelap di sekitar rumah kita. Ini akan membantu kita mengatasi peningkatan 50 peratus dalam tempat pembiakan di rumah sepanjang tiga tahun lalu, berbanding tiga tahun sebelumnya," tulis Encik Masagos.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg