Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

53 murid, 2 staf Sekolah Rendah Nanyang alami simptom pernafasan akut, tiada kes Covid-19: MOH

Feb 2, 2023 | 5:30 AM
1a5a2421-ca01-414e-9b22-6c5a34d25839
- Foto ST

KIRA-KIRA 53 murid dan dua kakitangan Sekolah Rendah Nanyang jatuh sakit, mengalami simptom pernafasan akut seperti demam, batuk, hidung berair atau sakit tekak, hingga tengah hari kelmarin.

Dua murid dimasukkan ke hospital tetapi telah dibenarkan keluar, kata jurucakap Kementerian Kesihatan (MOH).

Tiada satu pun kes itu diuji positif bagi Covid-19, tetapi sebahagiannya diuji positif bagi influenza, berdasarkan maklumat daripada sekolah itu.

MOH tidak mendedahkan berapa ramai diuji positif influenza.

Kementerian itu berkata ia sedang berhubung rapat dengan sekolah tersebut untuk memberi nasihat tentang langkah kawalan jangkitan.

Beberapa kelas di sekolah itu mengikuti pembelajaran dari rumah (HBL) selama dua hari kelmarin dan semalam, selepas beberapa kes demam, batuk dan sakit tekak dikesan sejak Jumaat lalu.

Pengetua sekolah itu, Cik Wong Li Peng, berkata premis sekolah telah dinyahjangkit dan beliau memberhentikan perhimpunan fizikal pagi dan mengurangkan aktiviti berkumpulan.

"Keselamatan anak-anak amat penting dan kami akan melakukan yang perlu untuk memastikan semua langkah berjaga-jaga diambil bagi menjaga kesejahteraan mereka," ujar Cik Wong.

Ibu bapa murid juga diberitahu bahawa sekolah itu akan membersihkan dan menyahjangkit bilik darjah dan kawasan biasa, dan guru akan mengingatkan murid supaya mengamalkan kebersihan baik, termasuk kerap mencuci tangan dan mengelap permukaan.

Menurut MOH, kes influenza di Singapura biasanya meningkat pada pertengahan tahun (Mei hingga Julai) dan akhir tahun (November hingga Januari).

Walaupun ia bukan penyakit yang sangat serius, MOH secara rutin memantau influenza melalui pengawasan petandanya, seperti jumlah purata harian pesakit yang mendapatkan rawatan di poliklinik bagi jangkitan pernafasan akut (ARI).

Berdasarkan pengawasan itu, jumlah kes dalam empat minggu lalu (25 Disember 2022 hingga 22 Januari 2023) kekal stabil.

"Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan dan menggunakan sabun dengan air, terutama sebelum menyentuh mata, hidung atau mulut.

"Individu tidak sihat juga harus mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, memakai pelitup apabila keluar dan mengelakkan kontak rapat dengan orang lain," kata MOH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg