SEBANYAK 55 ubat barah baru akan ditambah kepada senarai ubat bersubsidi Singapura menyusuli rundingan dengan syarikat farmasi yang telah membolehkan Singapura memperoleh ubat tersebut dengan harga yang lebih rendah.

Tambahan kepada Daftar Ubat Piawai dan Dana Bantuan Perubatan (MAF) bermaksud sebanyak 150 rawatan barah akan menerima dana yang ditambah, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) Selasa (17 Ogos).

Ia menambah, kriteria kelayakan bagi MAF - yang memberikan subsidi kepada perubatan berkos tinggi yang dikira perlu - juga akan diperluas mulai September tahun depan.

Dengan langkah ini, warga Singapura dengan pendapatan per capita hingga $6,500 layak menerima subsidi tersebut, untuk rawatan barah dan juga penyakit lain.

Buat masa ini, hanya keluarga dengan pendapatan per capita $2,800 ke bawah boleh menerima bantuan dari skim itu.

Dalam kenyataannya, MOH turut berkata had pengeluaran MediSave untuk ubat barah akan diubah berdasarkan perubahan terhadap had tuntutan MediShield Life yang baru.

Buat masa ini, orang ramai boleh menggunakan sehingga $1,200 sebulan bagi rawatan barah dan khidmat berkaitan, seperti ujian darah.

Apabila perubahan tersebut dikuatkuasa tahun depan, had penggunaan tersebut mungkin turun kepada $600 bagi sesetengah orang, berdasarkan jenis ubat yang digunakan.

Namun, hampir 90 peratus pesakit warga Singapura yang menerima subsidi dengan menggunakan rawatan barah yang jimat kos namun disahkan berkesan akan menerima subsidi penuh bagi bil rawatan mereka, menerusi MediShield Life dan MediSave, kata MOH.