Topik diikuti
Pergi ke BHku568 kes Covid-19 tempatan baru dan 1 kematian pada Jumaat
568 kes Covid-19 tempatan baru dan 1 kematian pada Jumaat
SINGAPURA melaporkan 568 kes Covid-19 tempatan tempatan dan lima kes import pada Jumaat (10 Sep), atau sejumlah sejumlah 573 kes, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan. Selain itu, seorang lelaki berusia 80 tahun yang belum mendapat vaksinasi penuh telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan Covid-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah kematian Covid-19 di Singapura menjadi 58 orang. Jumlah kes harian meningkat dua kali ganda berbanding seminggu lalu, apabila ia mencatat 219 pada Jumaat sebelumnya. Daripada kes jangkitan tempatan pada Jumaat, 127 adalah warga emas berusia di atas 60 tahun, dedah MOH. Jumlah jangkitan di Singapura berjumlah 70,612. Warga lelaki Singapura yang meninggal dunia itu mengalami gejala pada Sabtu lalu dan dimasukkan ke Pusat Nasional Penyakit Berjangkit, dengan beliau diuji positif koronavirus pada Khamis lalu, kata kementerian itu. Beliau mempunyai sejarah penyakit kencing manis, masalah jantung, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. MOH sedang mengawasi 10 kelompok dengan teliti, turun daripada 11 pada Khamis lalu. Kelompok di pemborong makanan segar Hu Lee Impex melaporkan empat kes baru pada Jumaat, dengan jumlah 31 kes. Daripada 31 kes itu, 26 adalah kakitangan - termasuk 14 pembungkus sayur - dan lima daripadanya adalah kes yang berkaitan dengan isi rumah. Kelompok yang dikaitkan pekerja di lima pusat tukaran bas pula terus meningkat, dengan 18 kes baru ditambah pada kelompok di Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Clementi dan Bishan. Kelompok itu disebabkan penularan di tempat kerja dalam kalangan pemandu bas dan kakitangan pusat tukaran bas itu, dan tidak ada bukti penularan kepada penumpang, tambah MOH. Kelompok terbesar adalah di pusat tukaran bas Toa Payoh, dengan 203 kes keseluruhan, setelah enam kes baru ditambah.