Enam firma dan seorang peguam kanan telah dilantik bagi menganggotai sebuah panel pakar untuk meneliti dan menuntut pertanggungjawapan daripada syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu di Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama pada 30 Oktober, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendedahkan barisan firma dalam panel berkenaan.

Firma siasatan panel tersebut merangkumi Control Risks Group, FTI Consulting (Singapore) dan Kroll Singapore.

Manakala firma guaman atau penasihat undang-undang merangkumi Dentons Rodyk & Davidson LLP, TSMP Law Corporation, WongPartnership LLP dan Encik Toby Landau KC daripada Duxton Hill Chambers.

Menurut MinLaw dan NEA, firma tersebut dapat menawarkan kepakaran dalam siasatan forensik, analisis kewangan, risikan korporat, khidmat nasihat risiko serta perkhidmatan undang-undang.

Lebih banyak firma atau penasihat undang-undang mungkin ditambah ke dalam panel tersebut, menurut kenyataan tersebut, sambil menambah bahawa sebilangan firma guaman tidak dapat dilantik kerana sedang mewakili syarikat yang telah dikenal pasti pihak pemerintah.

Syarikat berkenaan dikehendaki melantik salah satu firma siasatan dan salah satu firma guaman atau penasihat undang-undang yang tersenarai dalam panel tersebut, dengan perbelanjaan kos tersebut ditanggung sendiri.

Penubuhan panel pakar ini kali pertama diumumkan pada 23 Oktober.

MinLaw sebelum ini berkata panel berkenaan dianggotai golongan karyawan yang mempunyai kepakaran untuk menjalankan siasatan rentas sempadan, mengesan hubungan korporat yang rumit serta meneliti rantaian bekalan merentasi pelbagai bidang kuasa.

Tugas panel itu akan diselaraskan oleh Davinder Singh Chambers, yang menurut pemerintah mempunyai pengalaman luas dalam siasatan rentas sempadan dan struktur undang-undang yang rumit.

Kementerian itu turut menyatakan bahawa agensi pemerintah, termasuk Pejabat Peguam Negara (AGC), mungkin berdepan kekangan dalam melaksanakan tugas sedemikian di bidang kuasa luar, sekali gus memerlukan penglibatan pihak luar berkenaan.

Dalam satu pertemuan pada 28 Oktober, wakil daripada 10 syarikat Singapura yang menerima notis di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dipanggil bagi menghadiri mesyuarat tertutup di bangunan The Treasury bersama Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.

Semasa mesyuarat tersebut, Encik Shanmugam, juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, menegaskan bahawa mereka dikehendaki untuk melantik satu firma daripada panel pakar itu untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas operasi, hubungan korporat dan rantaian bekalan masing-masing.

Laporan audit berkenaan kemudian perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

Meskipun undang-undang tidak memberikan kuasa kepada NEA – agensi yang mentadbir akta berkenaan – untuk mengarahkan syarikat melantik penyiasat bagi meneliti operasi, hubungan korporat mahupun rantaian bekalan mereka, pemerintah akan mengusulkan pindaan mengenainya pada sidang parlimen minggu depan.

Sekiranya pindaan yang diusulkan itu berkuat kuasa, NEA akan diberi kuasa berbuat demikian dan kegagalan mematuhi arahan agensi itu dianggap sebagai satu kesalahan undang-undang, tegas Encik Shanmugam.

MinLaw dan NEA turut menambah bahawa Davinder Singh Chambers akan menyelaraskan tugas yang dilaksanakan oleh firma dalam panel tersebut bagi memastikan laporan penilaian mereka menangani isu berkenaan secara berkesan dan mengandungi maklumat serta bukti yang diperlukan NEA untuk tujuan penilaian.

Dapatan daripada firma panel tersebut akan menentukan sama ada tindakan lanjut perlu diambil, menurut kenyataan bersama itu.

Syarikat Singapura yang menerima notis di bawah undang-undang jerebu itu merangkumi APP Company, APP Company (China), Bumitama Agri, Golden Agri International dan First Resources.

Turut tersenarai ialah Indofood Agri Resources, Kencana Agri, TSH Global Plantation, TSH Oversea serta Wilmar International.