Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6% murid DSA dari keluarga berpendapatan rendah

Oct 15, 2024 | 6:07 PM
Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) menyediakan laluan untuk murid Darjah 6 mendapat kemasukan awal ke sekolah menengah pilihan melalui bakat tidak berteraskan akademik.
Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) menyediakan laluan untuk murid Darjah 6 mendapat kemasukan awal ke sekolah menengah pilihan melalui bakat tidak berteraskan akademik. - Foto ST

Sekitar 6 peratus daripada murid yang memasuki sekolah menengah melalui Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) dalam tempoh lima tahun sejak kebelakangan ini menerima bantuan kewangan, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Semasa berucap di Parlimen pada 15 Oktober, beliau berkongsi bahawa pelajar sedemikian – dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan sebanyak $3,000 atau lebih rendah atau pendapatan per kapita bulanan sebanyak $750 atau lebih rendah – merupakan penerima skim bantuan kewangan Kementerian Pendidikan (MOE) atau dermasiswa sekolah bebas.

Selain itu, beberapa pelajar DSA menerima sokongan kewangan oleh sekolah masing-masing, katanya.

Diperkenalkan pada 2004, DSA menyediakan laluan untuk murid Darjah 6 mendapat kemasukan awal ke sekolah menengah pilihan mereka melalui aspek bukan akademik seperti dalam bidang sukan dan seni.

Encik Chan berkata MOE juga akan mengkaji semula skim DSA dengan mengambil kira tiga aspek – iaitu memastikan sekolah tertumpu pada pembangunan pelajar, proses pemilihan kekal objektif dan telus, serta skim itu kekal diakses.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) berkenaan bilangan murid berpendapatan rendah yang telah mendapat tempat di sekolah menengah melalui DSA, dan sama ada skim itu telah beralih daripada matlamat asal iaitu mengenal pasti pelajar yang berbakat berbanding mereka yang mampu membiayai program pengayaan dan persediaan.

Sejak diperkenalkan, DSA telah mendapat kritikan bahawa ia memberi kelebihan kepada keluarga lebih berkemampuan menggunakan kelas bimbingan dan persediaan persendirian.

MOE telah membuat beberapa penambahbaikan kepada DSA, seperti melupuskan yuran permohonan dan memperluaskan pengambilan pelajar.

Encik Chan berkata kaji semula itu akan memastikan sekolah memberi tumpuan kepada menyediakan peluang yang menambah nilai kepada pembangunan murid DSA dan bukan DSA, sama ada menerusi program sekolah, aktiviti kokurikulum atau akademik.

“Tanpa mengambil kira keperluan sekolah dalam mengimbangi pertimbangan berbeza semasa menilai pemohon DSA, kami ingin mengukuhkan proses pemilihan DSA supaya ia terus disokong oleh prinsip ketelusan, objektiviti, keterangkuman, dan berpusatkan pelajar,” kata beliau.

Semakan itu juga akan memastikan DSA kekal diakses dan murid daripada pelbagai latar belakang diiktiraf, bukan sahaja kerana prestasi, malah potensi mereka dalam bakat tertentu, dan butiran lanjut akan dikongsi kemudian, tambahnya.

Buat masa ini, Encik Chan berkata MOE telah menyokong murid daripada latar belakang yang kurang bernasib baik dalam pelbagai cara untuk menyertai DSA.

Beliau berkata: “(Kementerian) amat menyedari bahawa keluarga yang mempunyai sumber lebih baik sudah tentu ada lebih banyak peluang menyara anak-anak mereka.”

Justeru, peluang berbeza yang disajikan kepada murid daripada keluarga lebih berkemampuan dan keluarga berpendapatan rendah akan diambil kira dalam proses pemilihan DSA, katanya.

Encik Sharael turut mengajukan pertanyaan sama ada sekolah akan mengetepikan tempat DSA khusus bagi murid berpendapatan rendah, dan jika kementerian akan mempertimbangkan untuk mengehadkan peratusan murid DSA dalam sukan atau aktiviti kebudayaan tertentu.

Encik Chan menjawab: “Apabila kita melihat potensi pelajar, kita perlu mengambil kira bukan sahaja prestasi semasa mereka, malah potensi masa depan mereka, dan itu adalah sesuatu yang perlu kita lakukan dengan teliti.”

Namun, beliau memberi amaran supaya tidak mengenakan apa-apa kuota kerana ia tersasar daripada tujuan utama DSA, iaitu pemilihan berdasarkan merit dari segi potensi dan prestasi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg