Topik diikuti
Pergi ke BHku6 persatuan iklan, pemasaran Asia Tenggara bergabung hadapi cabaran AI
6 persatuan iklan, pemasaran Asia Tenggara bergabung hadapi cabaran AI
6 persatuan iklan, pemasaran Asia Tenggara bergabung hadapi cabaran AI
Enam persatuan pengiklanan dan pemasaran terkemuka di Asia Tenggara bergabung tenaga demi memastikan kelangsungan industri seiring era kepesatan kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu menyaksikan pelancaran satu pakatan serantau bagi memperkasa bakat, berkongsi kepakaran, serta memperdalam kerjasama rentas sempadan.
Asia Admarcom Alliance (AAA) atau Pakatan Pengiklanan Komunikasi Pasaran Asia yang dilancarkan pada 9 Julai, merupakan rangkaian rasmi rentas sempadan pertama yang menghubungkan persatuan pengiklanan dan pemasaran, di enam pasaran Asia Tenggara.
Anggotanya termasuk Persatuan Pengiklanan dan Pemasaran Singapura (AAMS), Persatuan Digital Malaysia, Persatuan Pemasaran Digital Filipina, Persatuan MarTech Thailand, Vietnam MarTech, dan Persatuan Digital Indonesia.
Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut ditandatangani semasa persidangan sulung, ‘Beyond Boundaries’ (Melampaui Sempadan), di Conrad Singapore Marina Bay, dan disaksikan oleh Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.
Persidangan yang dianjurkan AAMS itu memberi tumpuan kepada AI, kandungan dan data.
Ketika berucap di persidangan tersebut, Encik Tan menyatakan AI telah menjadikan proses menghasilkan kandungan lebih mudah, dan mudah diakses.
Justeru, kepercayaan serta hubungan sesama manusia akan menjadi faktor pembeza yang semakin berharga.
“Teknologi boleh membantu kita menghasilkan kandungan.
“Namun, usaha untuk meraih kepercayaan dan menyentuh hati (audiens) kekal sebagai satu kemahiran unik manusia,” kata Encik Tan.
Beliau menambah, terdapat keperluan meningkat bagi pemimpin pemasaran masa depan untuk menjadi individu “dwibahasa”, iaitu dengan menggabungkan kreativiti, kemahiran bercerita, dan pemahaman budaya, seiring kepakaran dalam bidang AI, data, serta algoritma.
“Organisasi yang berjaya tidak akan memilih antara manusia dengan AI.
“Sebaliknya, mereka akan menggabungkan kepantasan serta skala capaian AI dengan pertimbangan, empati, dan imaginasi unik manusia.
“Mereka juga mesti meraih kepercayaan,” katanya.
Secara bersama, keenam-enam persatuan tersebut mewakili agensi, jenama, platform, penyedia teknologi, serta golongan karyawan kreatif di serata Asia Tenggara.
Pihak penganjur berkata pakatan tersebut akan berfungsi sebagai wadah kerjasama serantau dan kepimpinan bersama sedang sektor pemasaran dan komunikasi menyesuaikan diri dengan perubahan yang dipacu AI.
Presiden AAMS, Cik Chloe Neo, berkata pakatan itu bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam aspek pembangunan bakat, inovasi teknologi, serta perkongsian sumber.
“Setiap pasaran di sini sedia maklum tentang kesan perpecahan.
“Dengan bersatu demi pembangunan bakat, inovasi teknologi, serta perkongsian sumber, kita berpeluang membentuk ekosistem pemasaran serantau yang berdaya tahan, dan berdaya saing secara global,” kata beliau.
“Bersama-sama, kita membina sesuatu yang berkuasa, satu asas bagi kerjasama dan pertumbuhan, dan inilah cara untuk kita menterjemahkan visi menjadi kenyataan,” kata Cik Neo.
