SEKITAR 60 peratus pekerja penghantaran makanan di sini menyertai ekonomi gig semasa pandemik Covid-19, menurut tinjauan yang dijalankan tiga platform utama penghantaran makanan.

Namun, hampir dua pertiga daripada 4,200 pekerja yang ditinjau berkata, mereka hanya melakukannya secara separuh masa, dengan 54 peratus bekerja kurang daripada 20 jam seminggu secara purata.

Dijalankan antara 4 dengan 17 Mac lalu, tinjauan itu merupakan yang pertama yang dilakukan bersama oleh Grab, Deliveroo dan foodpanda, lapor The Straits Times.

Keputusan tinjauan menunjukkan bahawa 29 peratus daripada penunggang bergantung pada kerja penghantaran makanan bagi keseluruhan pendapatan mereka dan hanya 25 peratus berkata mereka melakukan kerja gig selama lebih daripada 40 jam seminggu.

Apabila ditanya motivasi mereka untuk melakukan kerja gig, 57 peratus menyebut fleksibiliti sebagai tarikan utama.

Platform penghantaran makanan berkata, kerja gig sebahagian besarnya masih disalah faham di Singapura, dengan ramai yang mempunyai salah tanggapan bahawa pekerja penghantaran merupakan pekerja bergaji rendah.

Data dari tahun lalu di ketiga-tiga platform menunjukkan bahawa pendapatan median sejam bagi setiap pekerja adalah antara $12 dengan $18, lebih tinggi daripada $7 hingga $11 sejam yang diiklankan bagi pekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B), dan $8 hingga $9 bagi pembersih dan pengawal keselamatan.

Bahkan, hasil tinjauan mendapati 52 peratus daripada pekerja penghantaran berkata kerja gig telah meningkatkan kedudukan kewangan mereka dengan ketara.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Jawatankuasa Penasihat mengenai Pekerja Platform berkata ia akan mempertimbangkan maklum balas daripada tinjauan tersebut dan berusaha ke arah "penyelesaian mampan".

"Apabila syarikat platform berkembang, adalah semakin penting bagi syarikat sedemikian untuk memberikan sokongan kepada pekerja platform mereka.

"Keperluan pekerja yang tidak terpenuhi hari ini berpotensi menjejas generasi masa depan rakyat Singapura," kata jawatankuasa tersebut.