Hampir 600 anggota jemaah haji Singapura telah berlepas dari Madinah ke Makkah untuk memulakan ibadah umrah mereka sebelum menunaikan fardhu haji, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Mereka, yang melakukan perjalanan itu pada 18 Mei, menyertai kira-kira 300 jemaah yang telah berlepas lebih awal pada 12 Mei dan sudah pun berada di Makkah kini.

Anggota jemaah melakukan perjalanan secara berkumpulan dan berperingkat serta tiba di Makkah pada waktu yang berbeza, dengan perjalanan yang mengambil masa sekitar lapan jam.

Muis menambah anggota jemaah telah dihantar dari hotel oleh Ketua Delegasi Haji 2026, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang mendoakan agar mereka dikurniakan perjalanan yang selamat dan lancar sedang mereka melangkah ke fasa seterusnya dalam ibadah suci ini.

“Insya-Allah, kami akan teruskan usaha ini untuk menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji agar mereka memperoleh pengalaman yang baik, dan semoga Allah swt memberkati mereka serta melimpahkan rahmat-Nya.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar semua jemaah dikurniakan ibadah haji yang bermakna,” ujar Dr Faishal.

Setibanya jemaah ke Makkah, mereka mendaftar masuk ke hotel masing-masing di Aziziyah, Shisha dan Makkah, sebelum menunaikan ibadah umrah serta meneruskan persiapan mereka bagi ibadah haji yang bakal tiba.

Kesemua 900 anggota jemaah haji Singapura selamat tiba di tanah suci, dengan kumpulan terakhir, iaitu yang ketiga, mendarat di Madinah pada dinihari 14 Mei.

Mereka menyusul keberangkatan dua kumpulan jemaah haji setempat yang telah berangkat ke Arab Saudi pada 9 Mei dan 12 Mei.

Mereka juga telah berdaftar dengan tujuh ejen penjualan (GSA) pakej haji, iaitu Hagel Travel & Tours; Hahnemann Travel & Tours; Halijah Travels; Jalaluddin Travel & Services; Noor Mohamad Services & Travel; Shahidah Travel & Tours dan TM Fouzy Travel & Tours.

Menurut Muis dalam satu kenyataan media pada 9 Mei, kepulangan jemaah ke tanah air dari Jeddah dijadualkan pada 1, 5 dan 8 Jun, sekitar 3.30 petang waktu Singapura.

Dalam pada itu, umat Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Haji pada Rabu, 27 Mei.