Rangkaian makanan ringan Old Chang Kee adalah salah satu daripada tujuh syarikat tempatan yang dinamakan dalam Senarai Terbaik di Bawah Satu Bilion Forbes Asia 2024.
Senarai yang diumumkan pada 7 Ogos itu mengiktiraf 200 syarikat awam teratas dengan jualan tahunan melebihi AS$10 juta ($13.27 juta) tetapi kurang daripada AS$1 bilion.
Syarikat tersebut dipilih daripada kumpulan sekitar 20,000 syarikat tersenarai di rantau ini dalam sektor seperti kewangan, semikonduktor dan makanan dan minuman (F&B).
Syarikat tempatan lain yang turut tersenarai ialah Bursa Singapura, pengeluar makanan Delfi dan Eggriculture Foods, pengedar produk elektrik Choo Chiang Holdings, firma teknologi Aztech Global, dan Credit Bureau Asia, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Forbes Asia, ketegangan geopolitik dan cabaran inflasi kini telah menjejas kerancakan perniagaan di beberapa negara Asia-Pasifik.
Namun, permintaan domestik yang kukuh disokong oleh perbelanjaan prasarana dan perdagangan di seluruh dunia yang meningkat, telah mendorong pertumbuhan ekonomi di rantau ini secara keseluruhan pada 2023.
Ia menambah bahawa kelas pertengahan yang berkembang dan kedatangan semula pelancong ke rantau ini telah menambah bilangan syarikat makanan dan minuman dalam senarai Forbes Asia kepada 21 pada 2024, lebih seganda berbanding bilangan syarikat dalam senarai tersebut pada 2023.
Rangkaian makanan ringan Old Chang Kee yang bersijil halal, menikmati keuntungan bersih yang melonjak 50 peratus kepada $5.3 juta dalam tempoh enam bulan hingga 31 Mac 2024.
Ia mempunyai cawangan di Malaysia, Indonesia, Australia dan Britain.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Old Chang Kee, Encik Song Yeow Chung, berbesar hati kerana syarikatnya berada dalam senarai tersebut.
“Sejak 1956, tumpuan Old Chang Kee sentiasa tertumpu kepada bagaimana kami boleh berkhidmat dengan lebih baik kepada pelanggan kami,” ujar beliau.
Satu lagi syarikat makanan dan minuman dalam senarai tersebut ialah pembuat kuih-muih dan konfeksi Delfi, yang terkenal dengan produk berasaskan coklat seperti biskut.
Pendapatan syarikat itu melonjak 13 peratus kepada AS$538 juta pada 2023, dengan keuntungan bersih AS$46.3 juta.
Syarikat pengeluar telur, Eggriculture Foods pula berjaya memasuki senarai tersebut selama lima tahun berturut-turut.
Forbes Asia memilih syarikat berdasarkan skor komposit yang mengambil kira faktor seperti hutang, jualan, pertumbuhan pendapatan sesaham, dan purata pulangan ke atas ekuiti.
Syarikat yang mempunyai isu tadbir urus yang serius, amalan perakaunan yang boleh dipersoalkan, masalah alam sekitar, masalah pengurusan atau masalah undang-undang tidak dipertimbangkan.
Senarai Terbaik di Bawah Satu Bilion Forbes Asia diperkenalkan pada 2002 untuk memaparkan sebilangan syarikat paling berjaya di Asia.
Syarikat yang tersenarai dalam Forbes Asia sebelum ini termasuk syarikat teknologi Tencent, rangkaian makanan segera Jollibee, dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg