Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 kementerian ada menteri baru

PM Lee umum rombakan besar Kabinet; perubahan beri pemimpin 4G pengalaman dan pendedahan baru
Apr 24, 2021 | 5:30 AM
ROMBAKAN LEBIH MELUAS: PM Lee akur rombakan kali ini adalah lebih meluas dari biasa, memandangkan pemerintah baru sahaja memulakan tempohnya. - Foto BH oleh LIM YAOHUI
ROMBAKAN LEBIH MELUAS: PM Lee akur rombakan kali ini adalah lebih meluas dari biasa, memandangkan pemerintah baru sahaja memulakan tempohnya. - Foto BH oleh LIM YAOHUI -

TUJUH daripada 15 kementerian bakal diterajui menteri baru dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong - hanya sembilan bulan selepas pilihan raya umum lalu.

Menteri Pendidikan Lawrence Wong, 48 tahun, akan mengambil alih sebagai Menteri Kewangan, menggantikan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat yang mengumumkan keputusannya mengundur diri sebagai pemimpin generasi keempat (4G) baru-baru ini.

Menggantikan Encik Wong sebagai Menteri Pendidikan ialah Encik Chan Chun Sing, 51 tahun, yang akan melepaskan jawatannya di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, 62 tahun, pula akan beralih ke MTI, dan melepaskan peranannya sebagai pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Covid- 19.

Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, 51 tahun, akan menggalas jawatan Menteri Kesihatan dan berganding bahu dengan Encik Wong sebagai pengerusi bersama MTF.

Semua perubahan ini akan berkuat kuasa pada 15 Mei.

Dalam sidang media maya di Istana semalam, PM Lee akur rombakan kali ini adalah lebih meluas daripada biasa, memandangkan pemerintah baru sahaja memulakan tempohnya.

"Ada dua sebab saya melakukannya; pertama ialah terdapat perubahan pada Menteri Kewangan. Menyusuli Belanjawan 2021, DPM Heng melepaskan portfolio kewangannya. Kewangan adalah kementerian penting, justeru apabila ia berubah, terdapat banyak kesan kepada lain-lain pelantikan.

"Kedua, saya juga akan melakukan perubahan kepada Menteri Kesihatan, Tenaga Manusia dan Perdagangan dan Perusahaan. Ini adalah kementerian di barisan depan dalam usaha memerangi Covid-19 dan kesannya. Saya menimbangkan untuk melakukan perubahan selepas GE tahun lalu. Namun, kita masih bergelut dengan kesan Covid-19 ketika itu. Kini, dengan keadaan Covid-19 lebih stabil, saya mampu melakukan perubahan," ujar beliau.

Lain-lain perubahan melihat Encik S Iswaran, 58 tahun, mengambil alih sebagai Menteri Pengangkutan dengan jawatannya sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan (MCI) disandang Cik Josephine Teo, yang turut mengambil alih portfolio sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber.

Cik Teo, 52 tahun, akan kekal sebagai Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri dan turut memikul peranan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Inisiatif Negara Bijak.

Menteri Kedua Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, 56 tahun, yang merupakan muka baru yang dipilih dalam GE 2020, akan menerajui Kementerian Tenaga Manusia, mengambil alih dari Cik Teo.

Encik Lee berkata menteri generasi keempat telah pun menimba pengalaman dalam pelbagai jawatan sebelum ini dan rombakan terkini itu akan mendedahkan mereka kepada pengalaman baru.

Mengulas mengenai gangguan kepada sebilangan menteri yang terlibat, memandangkan mereka baru sahaja menyandang jawatan masing-masing selepas GE lalu, Encik Lee berkata:

"Pelantikan yang saya lakukan selepas pilihan raya adalah perubahan sementara, dan kini saya melakukan perubahan penuh.

"Saya terpaksa menggerakkan dua menteri yang baru menyandang jawatan mereka bagi tempoh yang singkat iaitu Lawrence di MOE dan Ong Ye Kung di MOT, tapi malangnya ia tidak dapat dielakkan.

"Ia adalah sedikit gangguan kepada kementerian terlibat, mereka telah melakukan sumbangan, mereka mula menggerakkan usaha, dan kini saya terpaksa mengganggu mereka. Namun, saya harap selepas penyesuaian ini, menteri-menteri baru dalam jawatan tersebut akan dapat melakukan tugas mereka untuk tempoh lebih lama," kata Encik Lee.

Dalam lain-lain pelantikan, Cik Sim Ann dilantik Menteri Negara Kanan (Kementerian Ehwal Luar) dan akan kekal dalam Kementerian Pembangunan Negara (MND), namun melepaskan jawatannya di MCI.

Encik Chee Hong Tat akan kekal sebagai Menteri Negara Kanan (Pengangkutan) dan melepaskan jawatannya di Kementerian Ehwal Luar (MFA) manakala Dr Koh Poh Koon pula menggalas jawatan Menteri Negara Kanan (Kementerian Tenaga Manusia) dan kekal dalam Kementerian Kesihatan (MOH).

Seorang lagi muka baru GE 2020, Encik Tan Kiat How, akan dilantik Menteri Negara MCI, sambil meneruskan tugasnya di MND, namun melepaskan jawatan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tugas Setiausaha Parlimen (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, pula diluaskan dengan beliau juga akan menyandang jawatan di MCI.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pula dilantik Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat, mengambil alih dari Encik Chan Chun Sing.

Dalam pada itu, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah menerima saranan agar Encik Chee Hong Tat menyertai gerakan buruh itu, dengan Dr Koh Poh Koon kembali ke pemerintah.

PELANTIKAN BARU

• Encik Gan Kim Yong Menteri Perdagangan dan Perusahaan • Encik S Iswaran Menteri Pengangkutan • Encik Chan Chun Sing Menteri Pendidikan • Encik Lawrence Wong Menteri Kewangan • Encik Ong Ye Kung Menteri Kesihatan • Cik Josephine Teo Menteri Perhubungan dan Penerangan • Dr Tan See Leng Menteri Tenaga Manusia

- Pelantikan baru berkuat kuasa 15 Mei

LAPORAN LANJUT :

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg