Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 kes Covid-19 dikesan; Pusat Makanan Boon Lay Place Food Village ditutup

Jul 24, 2021 | 5:30 AM
KES COVID-19: Pusat makanan Boon Lay Place Food Village ditutup selepas tujuh kes Covid-19 dikesan di sana. - Foto fail
KES COVID-19: Pusat makanan Boon Lay Place Food Village ditutup selepas tujuh kes Covid-19 dikesan di sana. - Foto fail -

PUSAT makanan Boon Lay Place Food Village ditutup selepas tujuh kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mereka yang bekerja atau mengunjungi pusat penjaja tersebut, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Dalam kenyataannya kelmarin, MOH berkata kes tersebut dikesan menerusi siasatan pada jangkitan Covid-19 yang mungkin wujud dalam kalangan penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong bagi mendapatkan bekalan mereka untuk dijual di pasar dan pusat makanan.

Pusat penjaja ini ditutup kepada orang awam selama dua minggu mulai semalam bagi memutuskan rantaian jangkitan dan bagi membolehkan pembersihan terperinci premis itu, kata MOH.

Ujian Covid-19 percuma juga akan diberikan kepada orang awam yang telah mengunjungi pusat makanan Boon Lay Place Food Village dan Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang antara 8 Julai dengan kelmarin (22 Julai).

Sehingga semalam, terdapat 78 kes baru yang dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong yang kini mempunyai 638 kes.

Enam kes baru dikaitkan dengan kelompok KTV yang kini mempunyai 227 kes.

Tiada kelab KTV tambahan yang dikaitkan dengan kelompok ini kelmarin.

Sehingga kelmarin, terdapat 28 kelompok jangkitan aktif, dengan antara tiga hingga 560 kes jangkitan.

Singapura melaporkan sejumlah 130 kes Covid-19 masyarakat baru semalam.

Terdapat tiga kes import.

Dalam kalangan kes masyarakat, terdapat 64 kes yang mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini dan sudah pun dikuarantin.

Terdapat 37 kes yang mempunyai kaitan yang dikesan menerusi pemantauan, kata MOH.

Sebanyak 29 kes pula tiada kaitan.

Dalam kalangan kes masyarakat ini, terdapat dua warga emas berusia melebihi 70 tahun yang belum menjalani vaksinasi atau menerima vaksinasi penuh dan berdepan dengan risiko menghidap penyakit serius.

Kelmarin, MOH memberi maklumat terkini mengenai vaksinasi di Singapura, menyatakan sekitar 6.91 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan di bawah program vaksinasi nasional.

Lebih 4.18 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara 2.84 juta orang telah menerima vaksin sepenuhnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg