Bursa Saham SGX telah mengemukakan soalan kepada tujuh syarikat pertanian yang disenaraikan di sini berhubung operasi dan sekiranya ia terkait dengan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, kata Menteri Kanan merangkap merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K Shanmugam.

Berkongsi kepada media di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 19 Oktober, beliau berkata syarikat itu adalah Golden-Agri Resources, Bumitama Agri, First Resources, Wilmar, Kencana Agri, Indofood Agri dan TSH Resources.

Encik Shanmugam yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri menambah, bank yang meminjam wang kepada syarikat sedemikian pula harus mengambil kira risiko berkenaan, dengan bank terbabit turut mengemukakan soalan kepada syarikat ini.

Namun, beliau tidak menamakan bank berkenaan.

Beliau berkata: “Bank telah memberikan pinjaman kepada syarikat yang menjalankan operasi pertanian ini.

“Jika syarikat tersebut kemungkinan ada kaitan dengan kebakaran yang berlaku, maka pihak bank perlu mempertimbangkan risiko yang timbul daripada sudut alam sekitar dan isu perundangan.”

Oleh demikian, selaku badan pengawal selia, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan mempunyai bidang kuasa penyeliaan ke atas bank bagi memastikan mereka menguruskan risiko masing-masing dengan sewajarnya, ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga berkata pemerintah akan meneliti sama ada syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan jerebu ada menikmati sebarang manfaat di Singapura – misalnya jika syarikat ini menerima geran atau insentif pemerintah.

Manfaat ini tertakluk pada amalan bertanggungjawab dan sah di sisi undang-undang.

Lantaran itu, pemerintah perlu menilai sama ada syarikat tersebut masih memenuhi syarat ini, tambah Encik Shanmugam.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti