SERAMAI 759 lelaki dan wanita disiasat atas pelbagai kesalahan seperti perjudian, memiliki rokok tanpa cukai, dadah dan pelacuran dalam satu operasi penguatkuasaan pelbagai agensi di serata pulau dari 21 November hingga 14 Disember.
Serbuan selama tiga minggu itu adalah sebahagian daripada operasi terbesar di seluruh pulau sejak wabak Covid-19 melanda pada 2020, melibatkan lebih 1,300 pegawai polis, kata satu kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) semalam.
Operasi itu diketuai oleh SPF daripada divisyen darat dan disokong oleh pasukan dari Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA), Kastam Singapura, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
"Operasi yang dijalankan seluruh negara, selama tiga minggu itu, adalah sebahagian usaha berterusan pihak polis untuk membanteras jenayah dan aktiviti haram.
"Sambil kita kembali ke kehidupan normal dalam aktiviti harian kita dengan pelonggaran Covid-19, polis akan meningkatkan usaha memerangi aktiviti jenayah dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang secara terang-terangan melanggar undang-undang," kata Pemangku Pengarah Jabatan Operasi, Asisten Komisioner (AC) Gregory Tan.
Antara operasi yang dijalankan dari 9 hingga 11 Disember 2022, melibatkan pegawai dari Divisyen Polis Pusat bersama pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID), SCDF dan CNB.
Ia menyasarkan aktiviti haram di sekitar pusat hiburan di daerah Jalan Besar, Little India, Beach Road, Chinatown dan Boat Quay.
Siasatan terhadap 759 individu yang ditahan itu sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg