Prasekolah 7oaks Bukit Batok, yang ditubuhkan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) 35 tahun lalu, telah berpindah dari tapaknya di Bukit Batok East Avenue 6 dan beralih ke Jurong East sejak 23 Disember 2024.
Langkah ini menandakan berakhirnya satu era dan penerusan legasi bersejarah dalam pendidikan awal kanak-kanak, kata PPIS.
Pengurus besar Oaks Plus Limited (OPL) Encik Bakar Alsagoff, 52 tahun, berkata perpindahan ke 31 International Business Park di kawasan Jurong East itu akan membawa kepada era baru yang menarik untuk prasekolah 7oaks.
“Kami memilih lokasi Jurong East setelah menilainya sebagai lokasi yang mempunyai kelebihan strategik dan sejajar dengan visi kami untuk menyediakan pendidikan awal yang boleh diakses dan berkualiti tinggi,” katanya.
Menurutnya lagi, pusat baru itu menawarkan ketersambungan yang baik dan mudah diakses oleh ibu bapa serta keluarga yang bekerja di kawasan tersebut.
“Jurong East ialah hab yang bertenaga dengan komuniti yang semakin berkembang, menyediakan persekitaran yang ideal untuk meluaskan jangkauan kami dan memberi perkhidmatan kepada lebih ramai keluarga.”
Kemudahan di Jurong East itu telah dilengkapkan dengan ruang berhawa dingin sepenuhnya, dengan bilik darjah yang lebih selesa, serta penapis udara bagi memastikan udara bersih dan sihat di seluruh premis.
“Bilik darjah kami juga dipenuhi dengan cahaya semula jadi untuk mencipta inspirasi dan ruang yang ceria untuk pembelajaran. Ruang permainan juga telah dikhususkan untuk kanak-kanak yang lebih muda untuk menggalakkan permainan yang selamat dan berimaginatif.
“Kemudahan tempat meletak kenderaan juga kini lebih luas untuk memudahkan penghantaran dan pengambilan untuk ibu bapa,” tambah Encik Bakar.
Menjelang pembukaannya, Cik Aniza Mohd Salleh, 59 tahun, selaku ketua sekolah pertamanya, mengimbau kenangan membangunkan sekolah itu hingga menjadi “rebutan” ibu bapa pada awal 1990-an.
Pusat tersebut antara prasekolah pertama kendalian sebuah pertubuhan Melayu/Islam.
“Saya masih ingat, sewaktu kami menerima pendaftaran pelajar, kami terkejut melihat ramai yang sedang beratur di luar, sepanjang jalan. Apabila kami bertanya, ada yang mengaku telah beratur dari malam sebelumnya, demi mendapatkan tempat untuk anak mereka masuk ke pusat ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, prasekolah 7oaks, dahulunya dikenali sebagai Taman Asuhan dan kemudiannya sebagai Pusat Pembangunan Anak PPIS, telah menjadi asas pendidikan awal kanak-kanak dalam masyarakat Melayu/Islam selama 35 tahun.
Pendidik kanan dan juga mantan Ketua Sekolahnya, Cik Zulaihabe Talip, 57 tahun, berkata prasekolah di bangunan di Bukit Batok East Avenue 6 itu merupakan pusat ketiga yang ditubuhkan sebagai Taman Asuhan untuk menampung keperluan masyarakat Melayu yang memerlukan khidmat penjagaan kanak-kanak.
Prasekolah yang pertama ditubuh pada 1983 di Haigsville Drive, manakala prasekolah di Bukit Batok membuka pintunya pada 1 Mac 1989.
“Ia telah menyediakan lebih daripada sekadar pendidikan tetapi juga menawarkan ruang memupuk pelajar di mana identiti budaya, bahasa, dan tradisi dipelihara dan diraikan bersama pertumbuhan akademik. Sejak penubuhannya, prasekolah kami telah menggalak semangat kekitaan dan kemasyarakatan bagi keluarga Melayu Islam,” kata Cik Zuhaihabe.
Dikelilingi dengan alam semula jadi dan terletak di sebuah bangunan berukuran 1,600 kaki persegi, prasekolah 7oaks di Bukit Batok menyediakan penjagaan daripada bayi 18 bulan hingga ke peringkat K2 dan dihadiri oleh hampir 130 kanak-kanak.
Kanak-kanak di pusat itu terdedah kepada aktiviti holistik dalam suasana yang dikelilingi alam semula jadi.
“Mereka selalu melihat monyet, kumbang dan pelbagai macam burung di sekitaran ini.
“Mereka juga menanam tumbuhan dan ghairah melihat hasilnya dimakan oleh penghuni alam itu. Ini semua satu pelajaran yang tidak dapat kami terapkan di tempat lain, dan merupakan keistimewaan pusat ini,” tambah Cik Zulaihabe lagi.
Seorang guru kanan prasekolah itu yang telah berkhidmat selama 14 tahun, Cik Razanah Abdul Razak, 32 tahun, berkata beliau berbelah bahagi – teruja dan gementar sekali gus – mengenai perpindahan pusat itu ke Jurong East.
“Di Bukit Batok, kami dikelilingi oleh kawasan bandar hijau seperti kawasan alam semula jadi yang menyegarkan.
“Faedah mental dan fizikal persekitaran ini akan sentiasa menjadi kenangan terindah. Di lokasi kami di Bukit Batok, kami bernasib baik mempunyai segala kemudahan untuk kegunaan sendiri, melangkah ke hadapan, berkongsi premis dengan penyewa baru adalah antara perubahan yang memerlukan penyesuaian,”
Tapak di Bukit Batok itu disewa dan dikendalikan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan akan dikembalikan untuk pembinaan kondominium yang sudah dalam perancangan.
Bagi pasangan suami isteri Cik Nurul Hasanah Mohd Noh, 34 tahun, yang merupakan seorang pengurus pentadbiran dan Encik Muhammad Aizat Muslim, 35 tahun yang bekerja di sebuah syarikat petrokimia, pusat 7oaks di Bukit Batok ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri, dan prasekolah itu akan dirindui bagi ciri uniknya.
Anak lelaki tunggal mereka, Muhamad Ady Rayyan Muhamad Aizat, kini dalam tadikan tahun kedua di pusat itu.
“Kami lebih sukakan di sini kerana tempatnya yang luas, dan dekat dengan alam semula jadi, tentu anak kami juga turut berasa sedih untuk meninggalkan tempat ini, tetapi kami teruja dengan persekitaran baru kerana ia adalah tempat baru untuk kanak-kanak meneroka dan menambah idea.
“Tentu mereka tak sabar ingin mulakan sekolah di sana. Secara keseluruhan, ia adalah perubahan yang positif,” kata pasangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg