SERAMAI lapan kakitangan Maktab Rendah Temasek dimasukkan ke hospital akibat kes keracunan makanan melibatkan syarikat Chilli Api Catering.
Pada 13 Mac, sekolah itu telah menerima beberapa laporan daripada kakitangan yang mendakwa mengalami gejala penyakit gastroentritis - radang perut dan usus - setelah memakan sajian set bento tengah hari daripada syarikat katering Chilli Api Catering pada hari sebelumnya.
"Seramai 43 kakitangan kami telah melaporkan mengalami gejala gastroentritis.
"Lapan di antara mereka telah dimasukkan ke hospital, dan kini dalam keadaan mantap," lapor pengetua Maktab Rendah Temasek, Cik Low Ay Nar, semasa ditemu bual Berita Harian semalam.
"Kami masih memantau kesihatan semua kakitangan kami yang terjejas dengan teliti, dan kami akan memberikan sokongan yang diperlukan kepada mereka.
"Sekolah ini juga bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk membantu siasatan," tambah Cik Low.
Kakitangan sekolah itu yang terjejas adalah antara 82 orang yang dilaporkan, termasuk 14 yang dirawat di hospital
Operasi Chilli Api Catering telah digantung oleh SFA menyusuli penularan kes keracunan makanan itu.
Dalam satu kenyataan malam kelmarin, MOH dan SFA berkata 82 orang yang terjejas itu melaporkan mereka menunjukkan gejala penyakit radang perut dan usus selepas memakan sajian daripada syarikat katering itu antara 10 Mac dengan 12 Mac lalu.
Chilli Api Catering yang menyediakan makanan Peranakan halal mempunyai dapur pusat di 3015 Bedok North Street 5, Shimei East Kitchen.
SFA mengingatkan operator makanan agar akur pada amalan makanan dan kebersihan peribadi yang baik setiap masa.
"SFA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang didapati melanggar Akta Kesihatan Awam Persekitaran," jelas kenyataan itu.
Orang awam yang ketahui atau ternampak amalan kebersihan yang tidak dipatuhi di kedai makan dinasihatkan agar tidak melanggani tempat tersebut tetapi melaporkannya kepada SFA menerusi borang maklum balas.
Ia boleh diperolehi di laman https://csp.sfa.gov.sg/feedback
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg