Lapan pemandu ditangkap minggu lalu kerana menyediakan perkhidmatan kereta sewa rentas sempadan secara haram dan kenderaan mereka telah dirampas.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 September, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata operasi penguatkuasaan telah dijalankan di pusat pemeriksaan darat selepas menerima maklumat daripada Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Teksi Nasional, lapor The Straits Times (ST).
Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), Cik Sun Xueling, berkata dalam satu hantaran di Facebook pada 30 September bahawa LTA telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mengemukakan cadangan bagi meningkatkan lokasi naik dan turun penumpang, serta menggalakkan lebih banyak teksi dan jenis kenderaan lain untuk menyediakan perkhidmatan rentas sempadan yang sah.
Beliau menambah perbincangan tersebut diadakan untuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan teksi rentas sempadan untuk pengguna tempatan.
“Melindungi mata pencarian pemandu kita juga adalah keutamaan dan kita perlu memanfaatkan teknologi untuk menjejak penggunaan kenderaan asing di jalan raya kita,” katanya.
Pemandu yang ditangkap menyediakan perkhidmatan kereta sewa haram mungkin berdepan denda sehingga $3,000, hukuman penjara enam bulan, atau kedua-duanya.
Mereka juga boleh kehilangan kenderaan mereka.
Untuk menawarkan perkhidmatan teksi atau kereta sewa persendirian di sini, semua pemandu mesti memegang Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam.
Teksi berdaftar di Malaysia juga mesti mempunyai Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam Asean.
Kededua lesen ini dikeluarkan oleh LTA.
ComfortDelGro (CDG) mengumumkan pada 18 September bahawa tempahan untuk perjalanan rentas sempadan ke Johor Bahru dari mana-mana lokasi di Singapura boleh dibuat melalui talian hotline mereka mulai 25 September.
CDG berkata 90 pemandu teksi mereka yang memiliki lesen teksi rentas sempadan yang sah sedia untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.
Selain itu, Strides Premier, yang dimiliki pengendali pengangkutan SMRT, mengumumkan perkhidmatan teksi rentas sempadan pada 19 September.
Sebelum ini, sembilan pemandu yang ditangkap kerana menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram semasa operasi penguatkuasaan pada separuh kedua September, telah dirampas kenderaan mereka.
Pemandu-pemandu tersebut ditangkap semasa rondaan di Arab Street, Pusat Kapal Peleseran Marina Bay, Marsiling Road dan Lapangan Terbang Changi, kata LTA dalam satu hantaran di Facebook pada 26 September.
Secara berasingan, pada Ogos, tindakan pemerintah telah diambil terhadap aplikasi inDrive kerana memudahkan perkhidmatan kereta sewa haram.
Aplikasi ini telah disekat di Singapura sejak 27 Ogos di App Store Apple dan Google Playstore.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg