SEKITAR 800 pelajar darjah empat dari 31 sekolah berpeluang mempelajari tentang inovasi, interaksi dan perpaduan dalam program Perkasa Warisan yang dijalankan secara maya buat pertama kalinya.
Program 'iPerkasa Warisan 2021' itu (gambar kanan) dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (Mesra) Persatuan Rakyat (PA), Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan Kumpulan Kerja Guru-guru Melayu Arif Budiman (AGAB) dan bertemakan 'Gastronomi Melayu: Herba dan Rempah'.
Menurut kenyataan PA Mesra semalam, disebabkan oleh keadaan Covid-19 dan usaha mendampingi lebih ramai pelajar, program itu diubah format bagi menyesuaikan dengan norma baru.
Menjelaskan program tahun ini, Anggota Jawatankuasa Penganjur iPerkasa Warisan yang juga anggota PA Mesra, Cik Zainab Sabtu, berkata adalah melegakan kededua Kumpulan Kerja Agab dan PA Mesra dapat meneruskan usaha itu walaupun dengan Covid-19.
"Menyesuaikan program ini kepada format digital tentunya adalah cara terbaik dalam normal baru ini sedang kami memanfaatkan wadah digital bukan hanya untuk terus mempromosikan dan merangsang penggunaan bahasa Melayu, tetapi juga untuk meningkatkan kesedaran mengenai budaya dan warisan kita," ujar beliau.
Dalam program kali ini, sukarelawan merakamkan video untuk membawa pelajar dalam perjalanan pembelajaran secara maya ke Laluan Rempah di Taman Fort Canning.
Menerusinya, pelajar berpeluang mengenali lima herba dan rempah tradisional yang digunakan dalam sajian Melayu.
Mereka belajar kemahiran komunikasi dan persembahan.
Sebagai usaha dipertingkatkan bagi mendekati pelajar, kit pembelajaran sendiri digital turut dihantar ke sekolah yang menyertainya untuk digunakan dalam kelas.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg