Pemerintah akan memperuntukkan sekitar $800 juta sepanjang lima tahun, dari 2024 hingga 2028, untuk meningkatkan rangkaian dan perkhidmatan bagi warga tua yang ditawarkan Pusat Penuaan Aktif (AAC).
Dana itu bakal menyaksikan beberapa daya usaha diperkenal di bawah satu program baru – Sihat Menua SG – untuk dinikmati warga emas, seperti peningkatan AAC, menambah jumlah Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), serta model perkhidmatan penjagaan lebih lancar.
Diterajui Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), program Sihat Menua SG bertujuan mendekati lebih ramai warga emas dan menyokong kehidupan aktif sedang mereka meniti usia senja.
Ini diumum Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung; Menteri Pembangunan Negara merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee; dan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam satu sidang media di Pusat Penuaan Aktif NTUC Health di Lengkok Bahru pada Khamis.
“Antara program baru ialah Sukarelawan Generasi Perak, sebagai usaha menggalak warga emas menyumbang kepada masyarakat. Kegiatan ini boleh memberi makna dan kepuasan dalam hidup warga emas,” ujar Encik Ong.
Menjelang 2025, Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) mahu melatih 4,000 warga emas menerusi program itu bagi melengkapi mereka dengan kemahiran tertentu sebelum diberi pelbagai peluang menolong warga emas lain yang memerlukan di AAC.
Perkhidmatan penjagaan lebih lancar juga menjadi tumpuan utama program Sihat Menua SG, dengan perkhidmatan penjagaan terselaras akan diperkenal secara bertahap mulai separuh kedua 2024.
Model ini akan memastikan warga emas yang mempunyai pelbagai keperluan penjagaan dapat memperoleh pelbagai perkhidmatan penjagaan dengan lebih mudah dan lancar melalui satu penyedia perkhidmatan.
MND dan MOT juga akan terus mempergiat penambahbaikan kawasan dan persekitaran perumahan warga emas, membolehkan mereka bergerak dengan lebih selamat.
Sebagai contoh, bagi menyokong warga emas bergaji rendah dan tidak mempunyai sokongan sosial mencukupi daripada keluarga atau masyarakat, Sistem Penggera Amaran tanpa wayar (AAS) diperluas kepada sekitar 26,800 lagi warga emas yang tinggal di 170 blok sewa awam.
Sistem itu membolehkan warga emas mendapatkan bantuan dengan memicit butang dan merakam mesej audio yang akan disampaikan kepada CareLine, iaitu hotline 24 jam yang memberi respons kepada pemanggil dalam keadaan kecemasan.
Selain itu, Encik Lee berkongsi rancangan melancarkan hingga 30 CCA, iaitu perumahan mesra warga emas dengan khidmat penjagaan yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan individu menjelang 2030, “jika model penyediaan penjagaan terbukti berkesan dan dapat dikekalkan”.
“Memandangkan respons positif bagi projek CCA di Harmony Village @ Bukit Batok dan Queensway Canopy, kami akan melancarkan CCA di lokasi berbeza di seluruh Singapura, agar lebih ramai warga emas mempunyai pilihan berpindah ke CCA sambil kekal tinggal dalam kawasan kejiranan mereka,” kata Encik Lee.
Projek CCA ketiga di Chai Chee Lane, Bedok North akan dilancarkan semasa jualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Disember.
Encik Chee pula mendedahkan rancangan memperluas inisiatif Laluan Mesra di seluruh negara menjelang 2030, bagi meningkatkan pengalaman warga emas berjalan kaki dengan lebih selamat dan menyenangkan di kejiranan mereka.
“Walaupun kita mungkin menyaksikan kelajuan lalu lintas berkurangan disebabkan laluan mesra, saya ingin menggalak rakyat Singapura memahami kepentingan peralihan ini bagi menjadikan Singapura tempat kediaman mesra warga emas,” kata beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg