807 kes baru Covid-19 di SG, rumah jagaan Jamiyah antara dua kelompok baru
807 kes baru Covid-19 di SG, rumah jagaan Jamiyah antara dua kelompok baru
TERDAPAT dua lagi kelompok baru Covid-19 di Singapura kelmarin, iaitu Rumah Penjagaan Jamiyah dan Rumah Penjagaan Orange Valley.
Setiap kelompok itu mempunyai 13 kes, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).
Kesemua 13 kes dalam kelompok Orange Valley di Simei merupakan penghuninya, manakala kes di Rumah Penjagaan Jamiyah di West Coast Drive melibatkan 10 penghuni dan tiga kakitangan.
Kelmarin terdapat 770 kes baru Covid-19 dalam masyarakat - jumlah rekod tertinggi dalam lebih setahun.
Selain itu, terdapat 34 kes dalam kalangan penghuni dormitori pekerja migran dan tiga kes import, menjadikan kes baru Covid-19 di Singapura berjumlah 807 kelmarin.
Ini lebih seganda jumlah 349 kes baru yang dicatat pada Rabu minggu lalu.
Dengan ini, jangkitan Covid-19 di Singapura sekarang berjumlah 73,938, dengan 58 kematian.
Daripada jumlah kes baru dalam masyarakat yang disahkan kelmarin, 238 merupakan warga emas berusia lebih 60 tahun.
Terdapat satu kes baru yang ditambahkan pada kelompok All Saints Home di Jurong East, menjadikan jangkitan di kelompok itu mencapai 12 kes.
Rumah Penjagaan Ren Ci juga mempunyai tiga kes baru, dengan kelompok itu kini mempunyai 32 kes.
Semua lawatan ke rumah penjagaan berkediaman digantung sebulan sejak Isnin lalu selepas MOH mengesan 42 kes dalam 18 kemudahan dan penyedia penjagaan warga emas.
Kementerian itu berkata Ahad lalu bahawa pemberhentian lawatan itu akan diteruskan hingga 11 Oktober untuk mengurangkan penularan Covid-19 dalam kemudahan penjagaan warga emas, dan untuk mendapatkan masa bagi menggalak lebih ramai warga emas yang belum divaksin mendapatkan vaksinasi mereka.
Tempoh ini juga digunakan untuk melancarkan program suntikan penggalak vaksin bagi penghuni kemudahan penjagaan warga emas, yang akan menyaksikan warga emas mendapatkan suntikan ketiga vaksin mereka.
Kelmarin, 11 lagi kes ditambah pada dalam kelompok Chinatown Complex, menjadikan jangkitan di kelompok itu mencapai 197 kes.
Kompleks itu ditutup sementara kepada orang awam sejak Ahad lalu.
Terdapat 822 pesakit Covid-19 di hospital kelmarin, bertambah daripada 809 pesakit sehari sebelumnya.
Terdapat juga 76 kes yang memerlukan sokongan oksigen dan sembilan pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).
Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 66 merupakan warga emas berusia lebih 60 tahun.
Kelompok yang dikaitkan dengan kakitangan di lima pusat tukaran bas di Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Bishan dan Clementi mempunyai 16 kes baru.
Jumlah kes di pusat tukaran bas itu ialah 657 kesemuanya.

