
SERAMAI 87 orang telah ditahan berikutan pemeriksaan penguatkuasaan di serata pulau ke atas 101 pusat urut yang dilakukan antara 13 September dengan 23 Oktober. Sejumlah 31 perniagaan didakwa menyediakan perkhidmatan urut tanpa lesen yang sah dan gagal memastikan pekerja tidak menyediakan perkhidmatan seksual. Polis telah menahan 46 wanita.
Sebanyak 10 perniagaan didakwa melanggar langkah jarak selamat Covid-19 dengan gagal memastikan semua orang memakai pelitup di dalam premis berlesen, dan interaksi antara kakitangan dengan pelanggan dikurangkan. Perniagaan tersebut boleh diarah tutup selama 10 hari dan denda $1,000 bagi pelanggaran itu. Pelanggan yang ditangkap tidak memakai pelitup boleh didenda $300. Polis menyatakan pada Sabtu (6 Nov) bahawa mereka akan meneruskan pemeriksaan penguatkuasaan dan menasihati orang ramai dan perniagaan untuk mengambil langkah pengurusan selamat dengan serius.
Bagi ketidakpatuhan terhadap langkah pengurusan selamat di bawah Peraturan Covid-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya. Mereka yang didapati bersalah menyediakan perkhidmatan urut di perniagaan urut tanpa lesen yang sah boleh didenda sehingga $10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Pesalah berulang berdepan dengan denda sehingga $20,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg