Topik diikuti
Pergi ke BHku9 AP kemuka soalan tentang dakwaan pembelian hartanah pegawai awam
9 AP kemuka soalan tentang dakwaan pembelian hartanah pegawai awam
Dakwaan bahawa penjawat awam dan keluarga mereka, dalam jumlah yang tidak seimbang, telah membeli hartanah berhampiran stesen MRT yang telah dikenal pasti tetapi belum diumumkan, akan menjadi antara perkara yang dibangkitkan di Parlimen pada 6 Oktober.
Sembilan Anggota Parlimen (AP) telah mengemukakan soalan kepada pemerintah mengenai dakwaan itu, yang timbul daripada satu kertas kajian Biro Penyelidikan Ekonomi Nasional (NBER), sebuah badan bukan meraih keuntungan (NPO) Amerika Syarikat, yang diterbitkan pada September, berdasarkan kertas aturan mesyuarat yang dikeluarkan pada 5 Oktober.
AP Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) akan bertanya kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sama ada perkhidmatan awam telah meneliti hasil kajian itu, sama ada pemerintah akan meneliti dan mengesahkannya secara bebas, dan sama ada sebarang tindakan akan diambil.
Beliau turut bertanya tentang mekanisme kawalan bagi menghalang pegawai awam menggunakan maklumat pemerintah yang belum didedahkan kepada umum untuk meraih keuntungan kewangan peribadi, dan sekiranya terdapat langkah-langkah perlindungan untuk mengesan tindakan sedemikian.
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman, bertanya sama ada terdapat rangka kerja kawal selia untuk membendung kegiatan seperti itu, manakala AP Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) daripada Parti Pekerja (WP), bertanya sama ada perbuatan seperti itu melanggar kewajipan berkanun atau peraturan perkhidmatan awam.
Pemerintah sedang meneliti pembelian rumah antara 2007 dengan 2011 oleh pegawai yang terlibat dalam perancangan rangkaian rel MRT pada waktu itu, bagi kes-kes di mana hartanah berkenaan terletak berhampiran dengan tapak-tapak yang kemudian diumumkan sebagai stesen MRT.
Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) berkata dalam kenyataan pada 25 September bahawa ia sedang mengenal pasti pembelian-pembelian tersebut dan akan menyemaknya bagi menilai sama ada terdapat salah laku sebenar.
Ia menambah bahawa jika bukti menunjukkan seorang pegawai telah menggunakan maklumat bukan awam untuk membeli hartanah bagi kepentingan peribadi, kes itu akan dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Kertas kajian itu berkata terdapat bukti jelas “urus niaga berasaskan maklumat” oleh penjawat awam, dengan kadar pembelian berhampiran stesen MRT yang dirancang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam berbanding satu kumpulan kawalan (control group) bukan penjawat awam yang mempunyai ciri demografik dan corak penggunaan perumahan serupa.
Secara berasingan, sembilan AP bertanya mengenai peningkatan pemberhentian kerja di Singapura kepada 4,620 individu pada suku kedua 2026, paras tertinggi sejak suku terakhir 2020, menurut data pasaran tenaga kerja terkini yang diumumkan pada 21 September.
Kadar pekerja yang kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan turut merosot daripada 60.7 peratus kepada 54.9 peratus.
AP Encik Patrick Tay (Pioneer) telah bertanya sektor manakah yang secara konsisten mencatatkan kadar kemasukan semula dalam tempoh enam bulan yang paling rendah bagi golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik (PMET) dalam kalangan penduduk yang diberhentikan kerja sepanjang 14 suku tahun yang lalu.
Sementara itu, Encik Melvin Yong (Radin Mas) telah meminta Pemangku Menteri Tenaga Kerja, Jasmin Lau, untuk mendapatkan profil pekerja yang diberhentikan yang berkemungkinan paling kecil untuk menerima faedah pemberhentian kerja atau bantuan kewangan lain yang berkaitan dengan pemberhentian kerja daripada majikan mereka.
AP turut bertanya mengenai kelewatan pembinaan Jejambat Koridor Utara-Selatan (NSC) yang diumumkan pada September akibat akibat keadaan tanah yang rumit.
Jejambat NSC dari Admiralty Road West ke Lentor Avenue itu kini akan dibuka secara berperingkat mulai 2029, bukan 2027.
Enam AP, termasuk beberapa dari kawasan undi di utara dan tengah Singapura, bertanya bagaimana kelewatan itu akan menjejas penduduk dan perniagaan sekitar projek itu.
Parlimen juga akan membahaskan kenaikan gaji Speaker, Encik Seah Kian Peng, serta Timbalan Speaker, Encik Christopher de Souza dan Xie Yao Quan.
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah mengemukakan usul menetapkan gaji Encik Seah berdasarkan garis panduan baharu yang diterima pemerintah pada September.
Gaji Speaker akan kekal pada 50 peratus daripada gaji rujukan menteri MR4 yang dinaikkan. Gaji Speaker akan meningkat daripada $550,000 kepada $900,000 setahun, termasuk bonus dan komponen berubah-ubah.
Cik Indranee turut mengemukakan usul agar setiap Timbalan Speaker menerima elaun bersamaan 15 peratus daripada gaji bulanan Speaker, serta bonus dan komponen berubah-ubah.
Pemerintah pula mengemukakan usul menaikkan gaji Presiden daripada $1,568,900 kepada $2,568,200 setahun.
Ketiga-tiga usul akan dibahaskan bersama berdasarkan garis panduan perbahasan gaji politik pada September.
Usul serupa menyusuli perbahasan terdahulu mengenai gaji menteri pada 2012, yang diluluskan tanpa perbahasan.