Topik diikuti
Pergi ke BHku9 AP persoal dakwaan pembelian hartanah pegawai awam
9 AP persoal dakwaan pembelian hartanah pegawai awam
Dakwaan bahawa pegawai awam dan keluarga mereka lebih banyak membeli hartanah berhampiran stesen MRT yang telah dikenal pasti tetapi belum diumumkan akan menjadi antara perkara yang dibangkitkan di Parlimen pada 6 Oktober.
Sembilan Anggota Parlimen (AP) mengemukakan soalan kepada Pemerintah mengenai dakwaan itu, yang timbul daripada kajian National Bureau of Economic Research, sebuah badan bukan meraih keuntungan (NPO) Amerika Syarikat, yang diterbitkan pada September.
AP Encik Alex Yam (GRC Marsiling-Yew Tee) bertanya kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong sama ada perkhidmatan awam telah meneliti hasil kajian itu, mengesahkannya secara bebas dan sama ada sebarang tindakan akan diambil.
Beliau turut bertanya tentang langkah pencegahan bagi menghalang pegawai awam menggunakan maklumat pemerintah yang belum didedahkan kepada umum untuk meraih keuntungan peribadi.
AP Dilantik (NMP), Encik Azhar Othman bertanya tentang rangka kerja kawal selia untuk membendung kegiatan itu, manakala AP Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) dari Parti Pekerja (WP) bertanya sama ada perbuatan itu melanggar kewajipan berkanun atau peraturan perkhidmatan awam.
Pemerintah sedang meneliti pembelian rumah antara 2007 dengan 2011 oleh pegawai yang terlibat dalam perancangan rangkaian MRT, bagi hartanah berhampiran tapak yang kemudian diumumkan sebagai stesen MRT.
Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) berkata jika terbukti pegawai menggunakan maklumat bukan awam untuk membeli hartanah bagi kepentingan peribadi, kes itu akan dirujuk kepada polis.
Kertas kajian itu mendapati bukti jelas “urus niaga berasaskan maklumat dalaman” oleh pegawai awam, dengan kadar pembelian berhampiran stesen MRT yang dirancang lebih tinggi dalam kalangan pegawai awam berbanding bukan pegawai awam yang mempunyai ciri demografi dan corak penggunaan perumahan serupa.
Secara berasingan, sembilan AP bertanya mengenai peningkatan pemberhentian kerja kepada 4,620 individu pada suku kedua 2026, paras tertinggi sejak suku terakhir 2020.
Kadar pekerja yang kembali bekerja dalam tempoh enam bulan turut merosot daripada 60.7 peratus kepada 54.9 peratus.
AP Encik Patrick Tay (Pioneer) bertanya sektor yang mencatat kadar kembali bekerja terendah bagi karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang diberhentikan sepanjang 14 suku terakhir, manakala AP Encik Melvin Yong (Radin Mas) bertanya tentang pekerja yang paling kurang berkemungkinan menerima faedah pemberhentian kerja.
AP turut bertanya mengenai kelewatan dua tahun Jejambat Koridor Utara-Selatan (NSC) akibat keadaan tanah yang rumit.
Jejambat dari Admiralty Road West ke Lentor Avenue kini akan dibuka secara berperingkat mulai 2029.
Enam AP, termasuk beberapa dari kawasan undi di utara dan tengah Singapura, bertanya bagaimana kelewatan itu akan menjejas penduduk dan perniagaan sekitar projek itu.
Parlimen juga akan membahaskan kenaikan gaji Speaker Encik Seah Kian Peng serta Timbalan Speaker Christopher de Souza dan Xie Yao Quan.
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah mengemukakan usul menetapkan gaji Encik Seah berdasarkan garis panduan baharu yang diterima pemerintah pada September.
Gaji Speaker akan kekal pada 50 peratus daripada gaji rujukan menteri MR4 yang dinaikkan. Gaji Speaker akan meningkat daripada $550,000 kepada $900,000 setahun, termasuk bonus dan komponen berubah-ubah.
Cik Indranee turut mengemukakan usul agar setiap Timbalan Speaker menerima elaun 15 peratus daripada gaji bulanan Speaker, serta bonus dan komponen berubah-ubah.
Pemerintah pula mengemukakan usul menaikkan gaji Presiden daripada $1,568,900 kepada $2,568,200 setahun.
Ketiga-tiga usul akan dibahaskan bersama berdasarkan garis panduan perbahasan gaji politik pada September.
Usul serupa selepas perbahasan gaji menteri pada 2012 diluluskan tanpa perbahasan.