SEKITAR 95,000 warga Singapura dan penduduk tetap telah menerima bantuan kewangan menerusi Geran Sokongan Covid-19 (CSG).

Ini termasuk 22,000 orang yang menerima bantuan itu sebanyak dua kali, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

CSG memberi sokongan sehingga $800 sebulan bagi tempoh tiga bulan, bagi pekerja sambilan atau pekerja tetap yang hilang pekerjaan, diarah mengambil cuti tanpa gaji atau dipotong gaji akibat pandemik ini.

Ia juga memperuntuk sokongan $500 sebulan bagi tempoh yang sama kepada mereka yang telah mengalami potongan gaji sekurang-kurangnya 30 peratus selama tiga bulan.

Encik Masagos, semalam, tidak menyatakan jumlah keseluruhan yang dikeluarkan bagi CSG, tetapi Oktober lalu, telah dilaporkan CSG mengagihkan sekitar $148 juta kepada lebih 83,000 orang.

Encik Masagos berkata mereka yang layak menerima CSG dan masih memerlukan bantuan masih boleh memohon bagi CSG sehingga 6 petang pada 31 Disember.

Permohonan boleh dibuat menerusi go.gov.sg/CSG menggunakan Singpass dan dokumen sokongan.

Beliau juga menggariskan kesan ekonomi berterusan terhadap sebahagian warga Singapura yang disebabkan pandemik ini sementara negara membuka semula ekonomi dalam fasa tiga.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Masagos berkata Geran Pemulihan Covid-19 (CRG) yang baru boleh mengurangkan kebergantungan pada skim sokongan kewangan lain yang dijangka berakhir pada akhir tahun ini, seperti CSG dan Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu Bekerja Sendiri (SIRS).

CRG memberi sokongan kepada warga Singapura dan penduduk tetap yang bergaji lebih rendah atau pertengahan yang kehilangan pekerjaan, terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau mengalami potongan gaji dan kini kurang berkemampuan dari segi kewangan dan kurang sokongan daripada keluarga.

Encik Masagos berkata:

"CSG dan CRG adalah sebahagian langkah pemerintah untuk membantu warga Singapura mengharungi kesusahan ini dan saya berbesar hari ramai individu, kumpulan dan pertubuhan telah tampil untuk membantu warga Singapura yang lain menerusi pelbagai skim bantuan.

"Ayuh kita semua kekal bersatu dan saling membantu, sementara kita bangkit dari krisis ini sebagai satu negara."

CRG memperuntuk sokongan sehingga $700 sebulan bagi tempoh tiga bulan.

Ia disasarkan kepada orang yang tidak bekerja - sama ada yang diberhentikan kerja atau dibatalkan kontrak - atau mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan berturut-turut.

Kumpulan lain akan menerima sehingga $500 sebulan selama tiga bulan menerusi geran yang sama.

Ini termasuk pekerja yang mengalami potongan gaji purata sekurang-kurangnya 50 peratus bagi tempoh tiga bulang berturut-turut dan individu yang bekerja sendiri yang mengalami pendapatan dagangan bersih (NTI) yang merosot sekurang-kurangnya 50 peratus bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan berturut-turut, berbanding NTI bulanan purata tahun ini atau tahun lalu.

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata geran itu bertujuan membantu individu dari isi rumah pendapatan lebih rendah, serta mereka yang mengalami kehilangan gaji lebih besar.

Keterangan lanjut mengenai geran ini boleh diperolehi di laman web MSF.

Permohonan dibuka sehingga 18 Januari.

"CSG dan CRG adalah sebahagian langkah pemerintah untuk membantu warga Singapura mengharungi kesusahan ini dan saya berbesar hari ramai individu, kumpulan dan pertubuhan telah tampil untuk membantu warga Singapura yang lain menerusi pelbagai skim bantuan. Ayuh kita semua kekal bersatu dan saling membantu, sementara kita bangkit dari krisis ini sebagai satu negara." - Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti