Sekitar 950,000 isi rumah HDB warga Singapura akan menerima baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV) dalam bentuk GSTV-U-Save dan GSTV-Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) mereka pada Julai 2023.
Dalam satu kenyataannya pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MOF) mengatakan bahawa isi rumah layak akan menerima seganda U-Save yang biasa diterima mereka.
Ini berjumlah sekitar lapan hingga 10 bulan bil api air bagi purata isi rumah flat HDB satu atau dua bilik, dan sekitar empat hingga enam bulan bil api air bagi purata isi rumah flat HDB tiga atau empat bilik.
Isi rumah yang layak juga akan menerima GSTV – Rebat S&CC suku tahunan mereka untuk mengimbangi antara setengah bulan dan satu bulan S&CC mereka yang perlu dibayar kepada Majlis Bandaran masing-masing pada Julai 2023, kata MOF.
Rebat GSTV – S&CC akan dimasukkan secara langsung ke dalam akaun S&CC isi rumah yang layak yang diuruskan oleh Majlis Bandaran masing-masing.
Isi rumah ini tidak perlu mengambil sebarang tindakan untuk meraih manfaat daripada GSTV- U-Save dan GSTV- Rebat S&CC.
Jumlah keseluruhan rebat U-Save dan S&CC yang diberikan pada tahun kewangan ini berjumlah sekitar $720 juta.
Orang ramai boleh mengetahui lebih lanjut tentang kelayakan mereka untuk menerima GSTV dan rebat S&CC dengan log masuk ke My HDBPage menggunakan Singpass mereka.
Pemerintah melancarkan skim GSTV pada 2012.
Sejak tahun kewangan 2022, rebat S&CC pula menjadi sebahagian daripada komponen skim tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg