PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat telah memasukkan Singapura ke senarai destinasi perjalanan berisiko "sangat tinggi".

Di bawah Notis Perjalanannya, CDC menaikkan Singapura ke Tahap 4, kategori risiko tertingginya, daripada Tahap 3 sebelumnya. Notis itu berkata: "Tahap 4: Tahap Covid-19 Sangat Tinggi di Singapura." Notis itu meminta penduduk Amerika agar "mengelakkan perjalanan ke Singapura". "Sekiranya anda mesti pergi ke Singapura, pastikan anda telah divaksin sepenuhnya sebelum melakukan perjalanan. "Disebabkan keadaan di Singapura sekarang, pelancong yang telah divaksin sepenuhnya pun mungkin berisiko menjangkiti dan menyebarkan varian Covid-19," kata CDC. Ia meminta pelancong "mengikut saranan atau keperluan di Singapura, termasuk memakai pelitup dan memastikan jarak enam kaki (1.83 meter) dengan orang lain". Pengumuman CDC itu menyusuli kenyataan pada Isnin (18 Okt) oleh Jabatan Negara Amerika yang meminta agar tidak melakukan perjalanan ke Singapura kerana kes Covid-19. Singapura baru-baru ini mengumumkan pelanjutan skim perjalanan bebas kuarantin untuk pelancong yang telah divaksin.