Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima cawangan pusat hiburan disiasat kerana langgar undang-undang, 25 wanita diberkas
Lima cawangan pusat hiburan disiasat kerana langgar undang-undang, 25 wanita diberkas
Lima cawangan pusat hiburan disiasat kerana langgar undang-undang, 25 wanita diberkas

PIHAK polis memberkas 25 wanita dan kini menjalankan siasatan ke atas lima cawangan pusat hiburan awam yang disyaki melanggar undang-undang susulan beberapa serbuan yang berakhir Selasa lalu. Serbuan tersebut dikendalikan Pasukan Polis Singapura (SPF) bersama Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA), menurut satu kenyataan yang dikeluarkan SPF. Operasi tersebut yang bermula pada 27 April melibatkan 283 cawangan hiburan awam dan merupakan sebahagian daripada "usaha berterusan demi memastikan perniagaan hiburan malam Singapura dapat diteruskan dengan selamat." Semasa operasi tersebut, lima pusat hiburan awam berlesen dan tidak berlesen didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Hiburan Awam dan Akta Kawalan Arak (Bekalan dan Penggunaan). Siasatan ke atas pengendali pusat-pusat tersebut kini dijalankan. Wanita-wanita yang diberkas- terdiri daripada warga Thai, Cina, dan Vietnam berusia antara 24 dan 53 tahun- didakwa bekerja sebagai pelayan bebas tanpa permit kerja sah di empat cawangan tersebut. Tujuh daripada mereka didapati bekerja sebagai pelayan dan memberikan khidmat layanan serta minum bersama pelanggan di cawangan hiburan Sim Lim Square. Wanita-wanita dari Vietnam dan China didakwa tidak mempunyai sebarang permit kerja sah. Mereka ditahan di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing. Pusat hiburan tersebut juga didakwa beroperasi menggunakan muzik rakaman dan membekalkan arak kepada lima unit lain. Namun, pengendali tersebut hanya mempunyai lesen hiburan sah bagi empat unit, serta lesen arak bagi satu unit. Jika disabit kesalahan menawarkan hiburan awam tanpa lesen sah, pengendali boleh didenda hingga $20,000. Mereka yang didapati membekalkan arak di luar premis yang diberi lesen boleh didenda hingga $10,000. Mereka yang tidak mematuhi langkah jarak selamat boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan, didenda $10,000 atau kededuanya.
