Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Robot ronda polis akan dikerah serata S’pura

Jun 15, 2023 | 3:28 PM
‘MATA’ TAMBAHAN: Dua pegawai polis melakukan rondaan di  Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dengan dibantu sebuah robot ronda polis yang berupaya memantau keadaan dan mengeluarkan isyarat operasi polis.
‘MATA’ TAMBAHAN: Dua pegawai polis melakukan rondaan di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dengan dibantu sebuah robot ronda polis yang berupaya memantau keadaan dan mengeluarkan isyarat operasi polis. - Foto ST

Robot Ronda Polis akan dikerah di serata Singapura secara beransur-ansur selepas Pasukan Polis Singapura (SPF) melaksana percubaan sepanjang lima tahun dan pelancaran operasi penguatkuasaan secara kecil dalam beberapa operasi tertentu.

Robot ronda berautonomi itu juga telah dikerah di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi sejak April.

Dalam satu kenyataannya, polis berkata robot itu dapat memperluas keupayaan penguatkuasaan polis semasa menjalankan tugas sebagai ‘mata’ tambahan di tempat kejadian dan menggandakan kehadiran polis.

Ia merupakan kemudahan terkini SPF dalam kumpulan peralatannya yang berupaya berfungsi secara bersendirian dan menawarkan polis gambaran situasi lebih luas agar dapat membolehkan pegawainya membuat keputusan lebih baik.

Antara lain, robot setinggi 1.7 meter itu boleh diguna untuk mengawal keadaan semasa sesuatu kejadian atau mengarahkan orang ramai supaya mengelak daripada mendekati sesuatu tempat kejadian.

Ia dilengkapi beberapa ciri, seperti kamera 360 darjah yang berupaya ditinggikan sehingga 2.3 meter untuk memantau keadaan di sekeliling tempat kejadian, lampu isyarat polis, siren dan speaker arahan, lampu bagi memasuki kawasan gelap, dan juga butang bagi orang awam menghubungi polis bagi meminta bantuan.

Media diundang melihat bagaimana robot itu dapat membantu pegawai polis ketika menjalankan operasi di Terminal 4 pada Khamis.

Semasa pertunjukan itu, dua pegawai polis meronda dewan pelepasan bersama robot itu.

Apabila mereka mengenal pasti seorang ‘suspek’ lelaki yang meninggalkan beg mencurigakan di sebelah sebuah tiang di terminal itu, pegawai tersebut bergegas menahan dan menjalankan pemeriksaan ke atas lelaki itu.

Sedang operasi itu berlaku, robot berkenaan bergerak sekitar beberapa meter dari tempat kejadian dan menggunakan kamera pemantaunya yang boleh dinaikkan hingga 2.3 meter untuk memantau keadaan sekeliling.

Ia kemudian mengeluarkan lampu isyarat polis serta arahan melalui speaker kepada orang ramai bahawa satu operasi polis sedang dijalankan.

Ini supaya orang ramai tidak mendekati kawasan kejadian itu.

Jika orang awam memerlukan bantuan daripada polis atau ingin melaporkan kejadian, mereka boleh menekan satu butang untuk menghubungi Bilik Operasi Polis Lapangan Terbang.

Polis berkata pada Khamis bahawa dua robot berkenaan telah dikerah sebagai sebahagian operasi perondaan polis di Terminal 4 sejak April.

Robot polis buat julung-julung kalinya dikerah di tempat umum sebahagian daripada satu percubaan pada acara Chingay pada Februari 2018.

Sejak itu, polis telah mengerah beberapa versi robot berkenaan, termasuk di Marina Bay, pada musim sibuk perayaan serta di dormitori pekerja migran sewaktu pandemik Covid-19.

Pada Perbarisan Hari Kebangsaan 2022, polis menunjukkan robot serupa bagi operasi ronda kawasan di sekeliling tempat acara.

Ia juga ditunjukkan sewaktu Seminar Pelan Kerja polis pada Mei.

Ketua Operasi Divisyen Polis Lapangan Terbang, Superintenden Polis Lim Ke Wei, berkata robot itu dapat membantu pegawai membuat keputusan dan mengawal keadaan dengan lebih baik.

“Pelancaran operasi robot ronda di Terminal 4 Lapangan Terbang Changi menandakan satu pencapaian ketara dalam penerokaan kami terhadap usaha kepolisan robotik,” ujarnya.

“Robot ronda ini dapat beroperasi secara mandiri bersama-sama pegawai kami, menawarkan lebih banyak mata semasa menjalankan tugas.

“Penyepaduan kemudahan robotik mempertingkat keberkesanan dan keupayaan operasi pegawai barisan depan kami, membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih lancar.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg