KERANA mengabaikan arahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN), tiga orang akan dihadapkan ke mahkamah esok, dengan dua daripadanya adalah warga tempatan.
Ketiga-tiga mereka ialah: Chong Chun Wah, 48 tahun; Siti Wan Su'Aidah Samsuri, 25 tahun; kedua-duanya warga tempatan, dan, Brian Dugan Yeargan, 44 tahun, warga Amerika Syarikat.
Dalam kenyataannya pagi ini, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan, ketiga-tiga akan didakwa di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan Peraturan 2020 Penyakit Berjangkit (Arahan Jangan Keluar Rumah - Covid-19)
Menerangkan lebih lanjut tentang tindakan yang diambil ke atas Chong, ICA berkata lelaki itu tiba di Singapura dari Indonesia pada 17 Mac lalu dan dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah bagi tempoh 17 Mac hingga 31 Mac. Dia dikatakan telah meninggalkan tempat kediamannya di Bukit Batok sebanyak tiga kali.
Pada 24 Mac, Chong dikatakan telah menaiki bas ke Jurong East untuk membeli makanan dan meluangkan masa kira-kira satu hingga satu setengah jam di luar. Pada 28 Mac pula, dia meninggalkan kediamannya kira-kira lima minit untuk memeriksa peti surat di kolong blok; dan pada 29 Mac pula, dia telah berjalan ke sebuah kedai kopi di Bukit Batok untuk membeli makanan dan meluangkan masa antara setengah jam hingga 45 minit di luar.
Bagi kes melibatkan Siti Wan Su'Aidah pula, dia telah pulang ke Singapura dari Australia pada 25 Mac lalu dan telah dikenakan SHN bagi tempoh 25 Mac hingga 8 April lalu. Pada 30 Mac, dia telah meninggalkan kediamannya di Woodlands dan berjalan ke Vista Point untuk membeli keperluan harian dan rokok. Semasa tempoh ini dia gagal menjawab beberapa panggilan yang dibuat ICA ke telefon bimbitnya sebagai sebahagian daripada pemeriksaan penguatkuasaan. Dia meluangkan masa kira-kira 15 hingga 20 minit di luar.
Menyentuh kes Yeargan pula, ICA menyatakan warga Amerika Syarikat itu merupakan juruterbang komersial yang tiba di sini dari Australia pada 3 April lalu dan telah diberikan pas lawatan jangka pendek untuk 30 hari. Dia telah dikenakan SHN bagi tempoh 3 hingga 17 April. Bagaimanapun pada 5 April, dia meninggalkan kediamannya di Crowne Plaza Lapangan Terbang Changi, menaiki kereta api dari stesen MRT Lapangan Terbang Changi ke stesen MRT City Hall, dan berjalan ke Chinatown Point untuk memberi keperluan peribadi. Dia telah meluangkan masa kira-kira tiga jam di luar.
Siasatan ICA mendapati ketiga-tiga telah mengabaikan perintah SHN dengan sengaja.
"Hasil konsultasi dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), mereka akan didakwa di mahkamah esok bagi kesalahan masing-masing di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan Peraturannya," tegas ICA.
Jika seseorang disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan Peraturannya, dia boleh didenda sehingga $10,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
"ICA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas mereka yang gagal mematuhi keperluan SHN. Selain mendakwa pesalah di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan Peraturannya, ISA juga mungkin membatalkan kemudahan imigresen mereka dan melarang mereka daripada memasuki Singapura, sekiranya perlu," terang ICA lagi.
Orang ramai boleh melaporkan tentang sesiapa yang tidak mematuhi SHN kepada ICA menerusi laman go.gov.sg/reportshnbreach atau hubungi talian 6812 5555.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg