SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Adik-beradik urus Abang2 Cleaning Service bersihkan rumah

Adik-beradik urus Abang2 Cleaning Service bersihkan rumah

Feb 20, 2023 | 5:30 AM

Adik-beradik urus Abang2 Cleaning Service bersihkan rumah

KHIDMAT PEMBERSIHAN SELURUH RUMAH: Pasangan adik-beradik Encik Muhammad Fazlie Mahadi (baju hitam) dan Encik Muhammad Faeezal (baju merah) Mahadi menawarkan khidmat pembersihan di rumah, termasuk pembersihan seluruh rumah, sebelum dan selepas pindah rumah serta pembersihan permaidani dan sofa. - Foto BH oleh KHALID BABA
KHIDMAT PEMBERSIHAN SELURUH RUMAH: Pasangan adik-beradik Encik Muhammad Fazlie Mahadi (baju hitam) dan Encik Muhammad Faeezal (baju merah) Mahadi menawarkan khidmat pembersihan di rumah, termasuk pembersihan seluruh rumah, sebelum dan selepas pindah rumah serta pembersihan permaidani dan sofa. - Foto BH oleh KHALID BABA -

ENCIK Muhammad Fazlie Mahadi tercicir dari sekolah semasa di menengah dua - satu perkara yang beliau akur merupakan satu kesilapan dek pemikirannya yang kurang matang waktu itu.

Setelah meraih pengalaman selama bertahun dalam bidang pembersihan sejak usia remaja, Encik Fazlie, kini 32 tahun, berjinak-jinak memulakan perniagaan sendiri dengan menawarkan khidmat pembersihan di rumah.

"Di menengah dua, saya dah tercicir dari sekolah. Senang kata, memang tak ada akal waktu itu.

"Dari muda lagi, saya sudah masuk bidang pembersihan. Lama kelamaan saya fikir mengapa tak saya buat sendiri sahaja kerana kami pun ada cara sendiri.

"Kami pun lihat ada permintaan untuk pembersihan di rumah," ujar Encik Fazlie, yang ibu bapanya juga bekerja dalam bidang pembersihan.

Beliau, yang mempunyai lapan anak berusia antara 18 tahun dengan tiga tahun, berkata pekerjaan ini juga membolehkan beliau meluangkan masa dengan anak-anaknya.

Di samping itu, beliau, yang juga berpengalaman bekerja sebagai pekerja pembersihan di tempat tinggi, menambah pendapatan keluarganya sebagai pekerja penghantaran makanan.

Encik Fazlie bersama seorang adiknya dan kawan rapatnya mula menawarkan khidmat pembersihan di rumah semasa pandemik Covid-19 apabila kerja mereka terjejas waktu itu.

Adiknya, Encik Muhammad Faeezal Mahadi, 30 tahun, menyertai perniagaan itu apabila beliau hilang pekerjaan sebagai pekerja meja menyambut tamu di sebuah hotel.

Sebelum itu, Encik Faeezal, yang berkelulusan GCE peringkat 'N', telah bekerja dalam industri hotel selama enam tahun.

Beliau kini bekerja secara sepenuh masa sebagai pekerja pembersihan di poliklinik, dan membantu abangnya itu secara sambilan.

"Bekerja dalam bidang pembersihan di kemudahan penjagaan kesihatan, saya belajar tentang 'SOP'

(Prosedur Operasi Standard) tertentu. Saya manfaatkan pengalaman ini untuk khidmat pembersihan kami," kata Encik Faeezal.

Beliau, yang turut mengambil diploma sambilan dalam pengurusan perniagaan, berharap untuk menyertai kembali industri hotel kelak.

Pasangan adik-beradik Encik Fazlie dan Encik Faeezal menguar-uarkan khidmat mereka, yang dikenali sebagai 'Abang2 Cleaning Service', di media sosial.

Mereka menawarkan khidmat seperti pembersihan seluruh rumah, pembersihan selepas dan sebelum berpindah rumah, serta pembersihan permaidani dan sofa.

Sejauh ini, mereka menerima tempahan untuk flat HDB, kondominium dan tempat di kawasan perindustrian.

Encik Fazlie akur bukan mudah untuk memenuhi jangkaan klien, dan mereka hanya mampu berusaha sedaya upaya untuk memberikan khidmat terbaik.

Menjelang musim perayaan, mereka menjangkakan permintaan akan meningkat secara mendadak khususnya beberapa minggu sebelum Hari Raya.

Encik Fazlie berharap untuk meraih lebih banyak pengalaman dalam bidang itu sebelum mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

"Di menengah dua, saya dah tercicir dari sekolah. Senang kata, memang tak ada akal waktu itu.

Dari muda lagi, saya sudah masuk bidang pembersihan. Lama kelamaan saya fikir mengapa tak saya buat sendiri sahaja kerana kami pun ada cara sendiri.

Kami pun lihat ada permintaan untuk pembersihan di rumah.''

- Encik Muhammad Fazlie Mahadi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg