Sebanyak $132,000 berjaya dikumpulkan menerusi satu acara futsal melibatkan bekas pemain negara dan selebriti selain masyarakat sektor kewangan yang berlangsung pada Sabtu lalu.
Sebanyak 34 pasukan, termasuk skuad wanita serta pemain remaja bertarung di padang untuk tujuan amal dalam acara SGX Cares Bull Charge Charity Futsal itu.
Tetamu terhormat, Encik Eric Chua, Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) & Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga(MSF), turut menjayakan acara tersebut.
Bekas pemain bola sepak antarabangsa Singapura seperti Aleksandar Duric, Razali Saad, Malek Awab dan Nazri Nasir serta sekumpulan selebriti yang terdiri daripada Charlie Goh daripada filem Ah Boys to Men dan penyampai berita CNA, Steve Lai, turut serta dalam acara yang berlangsung di Kovan.
Dana yang dikumpul dalam acara futsal amal ini akan disalurkan kepada golongan kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan, orang kurang upaya serta warga senja.
Dengan kerjasama Dana Masyarakat, kesemua hasil kutipan dana akan disalurkan kepada benefisiari termasuk AWWA Ltd, Persatuan Autisme (Singapura), Khidmat Masyarakat Fei Yue, Perkhidmatan Masyarakat HCSA dan Perkhidmatan Kongsi bagi Badan Amal (SSC).
Sebagai melengkapkan tahun ke-20 acara pengumpulan dana itu, Larian Amal Bull Charge akan juga diadakan pada 27 Oktober di Marina Barrage.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg