Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Acara 'Heartstrings Walk' diadakan secara fizikal, menerusi alam maya

Masagos: Derma dikumpul melalui acara jalan ramai-ramai itu akan disalurkan kepada 80 agensi khidmat sosial
Mar 1, 2021 | 5:30 AM
BERJALAN SAMBIL BERAMAL: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) melancarkan Community Chest Heartstrings Walk 2021 dalam acara yang disiarkan secara langsung melalui Facebook semalam. Beliau disertai (dari kiri)pengerusi bersama Jawatankuasa HSW 2021 Encik Andrew da Roza; Pengarah Urusan Community Chest Charmaine Leung; Pengarah Urusan Marina Bay Sands, Encik George Tanasijevich; CEO Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) Tan Li San (tersembunyi); pengerusi Community Chest Phillip Tan; dan pengerusi bersama Jawatankuasa HSW 2021 Nicholas Ionides. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID
BERJALAN SAMBIL BERAMAL: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) melancarkan Community Chest Heartstrings Walk 2021 dalam acara yang disiarkan secara langsung melalui Facebook semalam. Beliau disertai (dari kiri)pengerusi bersama Jawatankuasa HSW 2021 Encik Andrew da Roza; Pengarah Urusan Community Chest Charmaine Leung; Pengarah Urusan Marina Bay Sands, Encik George Tanasijevich; CEO Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) Tan Li San (tersembunyi); pengerusi Community Chest Phillip Tan; dan pengerusi bersama Jawatankuasa HSW 2021 Nicholas Ionides. - Foto BH oleh TIMOTHY DAVID -

ORANG ramai berpeluang menyertai acara berjalan kaki beramai-ramai - baik secara fizikal mahupun menerusi alam maya - sambil beramal dan membantu golongan kurang bernasib baik.

Mereka yang berminat boleh memilih mengikuti laluan lima kilometer di Marina Bay, yang turut dilengkapi kegiatan interaktif di lima perhentian, atau turut serta menerusi alam maya di lokasi pilihan masing-masing.

Dianjurkan bersama Community Chest dan Marina Bay Sands, acara Community Chest Heartstrings Walk 2021 itu bertujuan mengumpul dana untuk memberi sokongan kepada keluarga kurang bernasib baik, individu berkeperluan khas, warga emas memerlukan, dan individu mengalami masalah mental.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, melancarkan acara itu dalam acara yang disiarkan secara langsung melalui Facebook semalam.

Ini tahun ke-10 acara itu diadakan berturut-turut. Sebanyak $4.7 juta telah dikumpulkan melalui acara itu sejauh ini.

Menurut Encik Masagos, derma yang dikumpul itu akan disalurkan kepada 80 agensi perkhidmatan sosial dalam mengendalikan lebih 200 program penting.

"Walaupun tempoh ini memang mencabar bagi ramai daripada kita, saya berbesar hati melihat sokongan tidak putus daripada semua lapisan masyarakat, yang berkumpul untuk menyokong golongan berbeza melalui acara ini," katanya.

Beliau berkata buat julung-julung kalinya tahun ini acara berjalan kaki menerusi alam maya turut disediakan untuk memastikan orang ramai boleh memberikan sokongan mereka sambil menjaga keselamatan.

Pengerusi bersama acara itu, Encik Andrew da Roza, berkata mereka memutuskan mendakap inovasi digital tahun ini dengan memperkenal acara berjalan kaki beramai-ramai menerusi alam maya.

"Ini peluang untuk keluarga dan teman-teman daripada pelbagai golongan usia dan keupayaan berbeza meluangkan masa bersama, dan pada masa sama beramal untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan.

"Kami berharap dapat menggalak lebih ramai menyertai usaha kami membina Singapura yang lebih inklusif untuk semua - setiap langkah cukup bermakna," katanya.

Pengarah Urusan Marina Bay Sands, Encik George Tanasijevich, berkata beliau berharap acara itu dapat menggalak lebih ramai individu dan juga syarikat turut serta memberi sokongan kepada golongan memerlukan.

"Ini wadah penting bagi mengumpulkan individu daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memberi sokongan kepada matlamat perkhidmatan sosial.

"Kami berharap lebih ramai individu dan syarikat dapat mengambil bahagian dalam inisiatif bermakna ini dan memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan," kata beliau.

Mereka yang berminat boleh mendermakan $38 untuk menyertai acara itu secara fizikal atau $28 menerusi alam maya.

Butiran pendaftaran boleh didapatkan melalui comchest.gov.sg/HSWMarinaBay atau comchest.gov.sg/HSWanywhere. Pendaftaran ditutup pada 31 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg