Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ada penumpang masih pakai pelitup dalam bas, MRT walau tidak perlu

Antara sebab termasuk bagi jaga kebersihan dan sebagai lapisan keselamatan tambahan
Feb 14, 2023 | 5:30 AM
MASIH DIGUNAKAN: Beberapa penumpang di Pusat Tukaran Bas Punggol (gambar atas) dan penumpang MRT masih lagi menggunakan pelitup pada 13 Februari. - Foto-foto ST
MASIH DIGUNAKAN: Beberapa penumpang di Pusat Tukaran Bas Punggol (gambar atas) dan penumpang MRT masih lagi menggunakan pelitup pada 13 Februari. - Foto-foto ST -

WALAUPUN baki sekatan Covid-19 termasuk penggunaan pelitup dalam pengangkutan awam telah dimansuhkan, masih terdapat sebilangan yang memilih untuk menggunakannya ketika berulang-alik ke tempat kerja.

Antara sebab yang diberikan mereka adalah untuk menjaga kebersihan dan untuk mempunyai lapisan keselamatan tambahan.

Ketika ditemui, Encik Izat Hamdan, 32 tahun, berkata beliau akan terus menggunakan pelitup selama beberapa minggu lagi untuk memantau situasi.

"Walaupun pelitup tidak lagi diperlukan, saya akan terus menggunakannya apabila di dalam pengangkutan awam sebagai langkah berjaga-jaga.

"Lagipun, ia sudah menjadi kebiasaan untuk menggunakan pelitup, tetapi saya juga fikir lebih baik menggunakannya kerana kita tidak tahu bila varian Covid-19 seterusnya akan muncul," kata Encik Izat, yang bertugas sebagai seorang pengurus kewangan.

Walaupun pelitup tidak lagi diperlukan dalam pengangkutan awam, ia masih diperlukan di sekitaran penjagaan kesihatan seperti wad hospital, klinik dan rumah jagaan.

Ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada Khamis semasa sidang media terakhir Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.

Selaras dengan pemansuhan sekatan, Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) juga telah diturunkan kepada tahap Hijau.

Ini kali pertama tahap Dorscon berada di tahap paling rendah, sejak kes pertama Covid-19 dikesan di Singapura.

Encik Rashdan Rasid, seorang eksekutif pentadbiran, pula berkata beliau menyokong keputusan untuk tidak lagi mewajibkan penggunaan pelitup dalam pengangkutan awam.

"Saya menyokong (keputusan itu), tetapi mereka yang tidak sihat perlu terus menggunakan pelitup apabila mereka berada dalam bas atau MRT.

"Saya harap pandemik ini telah mengajar orang ramai untuk bertanggungjawab secara sosial," kata Encik Rashdan, 28 tahun.

Sebaliknya, Encik Nurhady Norhisam, seorang jurutera sistem teknologi maklumat (IT), lebih suka memakai pelitup dalam pengangkutan awam kerana sesetengah penumpang tidak mempunyai etika dan kebersihan asas.

"Ada yang sakit dan batuk tetapi tidak memakai pelitup. Ini menimbulkan risiko kerana mereka boleh menjangkiti orang lain di sekeliling mereka.

"Tetapi secara keseluruhan, saya gembira Singapura kembali ke keadaan normal yang sama seperti masa sebelum Covid-19, di mana orang ramai boleh bergaul tanpa sekatan," kata Encik Nurhady, 28 tahun.

Selain memansuhkan penggunaan pelitup dalam pengangkutan awam, Encik Wong, yang juga pengerusi bersama MTF, berkata sistem menjejak kontak TraceTogether dan SafeEntry tidak akan digunakan lagi.

MTF juga berkata vaksin Covid-19 akan kekal percuma, tetapi pesakit tidak lagi akan mendapat subsidi sepenuhnya bagi rawatan dan ujian untuk virus itu.

Di samping itu, sekatan sempadan telah ditarik balik. Semua pengunjung yang tidak diberi vaksin Covid-19 tidak lagi perlu menunjukkan bukti ujian negatif sebelum berangkat untuk memasuki Singapura.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) juga telah mengemas kini langkah-langkah Covid-19 untuk pekerja migran yang tinggal di dormitori.

Mereka tidak lagi perlu memohon pas untuk mengunjungi tempat popular seperti Chinatown, Geylang Serai, Jurong East dan Little India.

Tambahan pula, pekerja migran juga boleh pulih daripada Covid-19 dalam dormitori mereka dan tidak perlu dibawa ke pusat pemulihan Covid-19 mulai 1 Mac.

Dengan pemansuhan baki sekatan dan tahap Dorscon diturunkan, MTF yang telah ditubuhkan pada Januari 2020, juga telah dibubarkan.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengambil alih pengurusan situasi Covid-19.

"Walaupun pelitup tidak lagi diperlukan, saya akan terus menggunakannya apabila di dalam pengangkutan awam sebagai langkah berjaga-jaga." - Encik Izat Hamdan, 32 tahun, seorang pengurus kewangan.

"Saya menyokong (pemansuhan penggunaan pelitup) tetapi mereka yang tidak sihat perlu terus menggunakan pelitup apabila mereka berada di dalam bas atau MRT." - Encik Rashdan Rasid, 28 tahun, seorang eksekutif pentadbiran.

"Ada yang sakit dan batuk tetapi tidak memakai peltiup. Ini menimbulkan risiko kerana mereka boleh menjangkiti orang lain di sekeliling mereka." - Encik Nurhady Norhisam, 28 tahun, seorang jurutera sistem IT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg